Renang Malaysia umum lantik jurulatih Amerika
PERSEKUTUAN Renang Malaysia (MS) telah melantik jurulatih Amerika, Megan Oesting sebagai pengarah teknikal pertama untuk kem renang kebangsaan, bermula bulan depan.
Dalam satu kenyataan MS memaklumkan bahawa Oesting dilantik susulan resumenya yang mengagumkan meliputi dua dekad dalam renang kompetitif dan kejurulatihan.
"Tempoh perkhidmatan beliau sebagai ketua jurulatih Bend Swim Club (2021-2023) menyaksikan kelab itu mencapai status Silver Medal Club Excellence buat kali pertama dalam sejarah, selain mencatat 50 rekod pasukan dan lima Rekod Renang Oregon.
"Di SwimMAC Carolina (2020-2021), beliau memupuk budaya 'perenang didahulukan' (swimmer-first) yang membawa kepada rekod dan pencapaian penting, termasuk satu rekod kumpulan umur kebangsaan.
"Usaha beliau di Persekutuan Renang Eastern Iowa (2016-2020) membawa kepada lebih 60 rekod renang Iowa dan satu rekod kumpulan umur kebangsaan," katanya.
Sementara itu, MS turut mengumumkan bahawa Eric Anderson dari Denmark akan menggantikan Chris Martin sebagai jurulatih kebangsaan baharu.
Anderson, yang masih berkhidmat sebagai jurulatih pasukan kebangsaan untuk Denmark sejak 2021 akan menyertai kem negara akhir bulan depan.
"Kemahiran beliau dalam motivasi, kejurulatihan teknikal, perancangan musim dan analisis video merupakan kunci kepada kejayaan beliau, dan pandangan beliau mengenai strategi renang dan kejurulatihan berprestasi tinggi boleh membantu MS meningkatkan standard renang kompetitif di Malaysia," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Naib Presiden MS Marilyn Chua, yang mengalu-alukan Oesting dan Anderson ke dalam pasukan kebangsaan, berharap mereka akan mewujudkan era baharu bagi renang negara.
Sukan renang Malaysia menerima kritikan ekoran prestasi kurang memberangsangkan sebelum ini termasuk pada Sukan SEA di Hanoi 2021 dan Phnom Penh 2023. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!