Langkah tepat tarik pencen wakil rakyat - MCCF
KUALA LUMPUR - Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) menyokong penuh sekiranya pencen melibatkan wakil rakyat atau ahli politik ditarik balik oleh kerajaan bagi meringankan beban perbelanjaan negara.
Pengerusi MCCF, Datuk Seri Halim Ishak berkata, cadangan baik itu perlu dilaksanakan selaras dengan hasrat kerajaan untuk pelaksanaan skim tidak berpencen bagi kemasukan penjawat awam baharu.
Beliau yang juga Pengasas Yayasan Prihatin Bekas 69 Komando berkata, bayaran pencen melibatkan wakil rakyat sememangnya membebankan ekonomi negara.
"Selaras dengan laungan kepimpinan melalui tauladan, maka semua wakil rakyat perlulah bertanggungjawab dan jangan menjadi 'politik munafik'.
"Sesungguhnya isu pencen kakitangan awam ini masih boleh ditangani dengan beberapa kaedah seperti memberikan mereka pilihan untuk memilih skim potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau tetap dan berpencen," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, seluruh lapisan masyarakat memahami bahawa negara pada masa ini berada dalam krisis ekonomi.
Jelasnya, dengan nilai mata wang negara yang jatuh serta kos sara hidup tinggi, ia sangat membebankan semua pihak.
Oleh yang demikian tegas beliau, sewajarnya semua skim pencen wakil rakyat juga mesti turut dihapuskan kerana jawatan politik adalah secara sukarela.
Malah tambahnya, tugas sebagai wakil rakyat bukannya melalui proses skim perkhidmatan berpencen.
Sementara itu kata beliau, hasrat kerajaan melaksanakan skim tidak berpencen bagi kemasukan penjawat awam baharu berkemungkinan akan memberi kesan.
"Tindakan ini kemungkinan tidak akan menarik minat pelajar lepasan institusi pengajian tinggi untuk berkhidmat dengan kerajaan.
"Ini kerana pihak majikan di sektor swasta pasti akan menawarkan gaji lebih besar dan pelbagai insentif lain kepada pekerja," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!