Jagoan go kart Asia Tenggara berentap di Sepang

Perlumbaan Rotax Max Challenge di Litar Go-Kart Antarabangsa Sepang.
Perlumbaan Rotax Max Challenge di Litar Go-Kart Antarabangsa Sepang.
A
A
A

BARISAN jagoan handalan go kart rantau ini berentap memburu kemenangan dalam Rotax MAX Challenge Asia Festival 2024 (RMCAF) di Litar Kart Antarabangsa Sepang hujung minggu ini.

Ketua penganjur, Genji Hashimoto berkata, kejuaraan di Sepang akan mengesahkan slot saingan RMC Grand Finals di Sarno, Itali pada Oktober depan seterusnya peluang mememenangi sebahagian daripada hadiah terkumpul RM400,000.

“Kami gembira untuk mengumumkan bahawa seramai 161 pelumba dari 18 negara telah mendaftar untuk mengambil bahagian dalam acara ini, yang merupakan edisi kedua RMCAF.

"Terdapat ramai para pelumba kart handalan dari seluruh dunia telah mendaftar untuk acara ini; bersaing dalam lima kategori Rotax - Micro MAX, Mini MAX, Junior MAX, Senior MAX dan DD2 Masters.

“Ini adalah acara go kart terbesar pernah dianjurkan di Asia Tenggara sehingga ini. Sebelum ini, acara go kart terbesar adalah acara sulung Rotax Max Challenge Asia Festival 2022, yang diadakan di Langkawi dengan 132 pelumba,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Amprex Racing Services berkata, daripada 161 pelumba itu, 34 akan bersaing dalam kelas Junior, 55 dalam kelas Senior; 17 dalam kelas DD2M, 20 dalam kelas Micro; 24 dalam kelas Mini dan 12 dalam kategori Senior Masters.

Ujarnya, semua juara kelas kecuali Senior Masters akan mendapat tiket automatik untuk bersaing dalam Grand Finals yang merupakan pentas para pelumba seluruh dunia bertarung.

“Untuk saingan hujung minggu ini, antara pencabar utama adalah pelumba Jepun, Iida Itto, yang akan bersaing dalam kelas Mini. Dia adalah juara Micro Max 2022 dan dilatih oleh bekas pelumba F1 dan Indycar, Toranosuke Takagi dari Jepun, kita juga akan ada Quinten Lu, yang merupakan juara Junior 2023 dan Kenta Kumagai, yang merupakan juara kelas Senior RMC Jepun tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Seorang lagi pelumba handalan adalah Mark Kimber dari Britain, yang merupakan pemenang Rotax beberapa kali. Dia adalah juara MAX pada 2016, juara kelas Senior MAX pada tahun 2021; dan juara DD2 MAX RMCGF 2022; sekali gus mencipta sejarah memenangi tiga kelas berbeza.

“Dari Malaysia, kita ada Katrina Ee, yang merupakan juara Junior Max RMC Asia Trophy 2023 di samping Travis Teoh yang bertanding dalam kelas Junior Max,” kata Hashimoto.

Katanya, Amprex Racing Services berbangga untuk menjadi promoter dan penganjur RMCAF, yang diharapkan akan berkembang menjadi acara tahunan paling berprestij di rantau Asia Tenggara.

Selain acara ini, Amprex Racing Services juga menganjurkan Rotax Max Challenge Asia Trophy (RMCAT), yang merupakan saingan Zon Asia dengan beberapa pusingan; dengan juara keseluruhan untuk setiap kelas turut memenangi tiket ke Rotax Grand Finals.

Rotax MAX Challenge Grand Finals adalah acara antarabangsa paling berprestij dalam sukan go kart yang mengumpulkan para pelumba terbaik daripada kejuaraan-kejuaraan dan acara-acara RMC bertarung dalam kelas masing-masing.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!