Iftar Ala Madinah @Karangkraf kembali meriahkan Ramadan 2024

Konsep Iftar Ala Madinah @Karangkraf lebih bersifat merakyat, santai dan mampu menjalinkan hubungan ukhuwah sesama pengunjung yang hadir.
Konsep Iftar Ala Madinah @Karangkraf lebih bersifat merakyat, santai dan mampu menjalinkan hubungan ukhuwah sesama pengunjung yang hadir.
A
A
A

SHAH ALAM - Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf bakal kembali pada Ramadan 2024 bagi memberi peluang kepada orang ramai merasai pengalaman berbuka puasa seperti di Masjid Nabawi, sekali gus dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama masyarakat.

Ketua Projek, Firdaus Hussamuddin berkata, sambutan pada tahun lalu cukup meriah malah pengunjung yang hadir juga mencecah 1,500 orang setiap hari.

Firdaus
Firdaus

Menurutnya, terdapat beberapa syarikat dan organisasi korporat yang ingin menjalinkan kerjasama untuk menyertai program tersebut.

“Setakat ini ada beberapa syarikat yang mahu berkolaborasi dengan kami kerana kita mempunyai pelbagai kelebihan.

“Konsep Iftar Ala Madinah @Karangkraf lebih bersifat merakyat, santai dan mampu menjalinkan hubungan ukhuwah sesama pengunjung yang hadir.

“Selepas melihat kejayaan program ini tahun lalu, saya yakin kita mampu memberi lebih banyak ruang dan peluang kepada masyarakat untuk datang bersama-sama menjayakan majlis ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Firdaus berkata, setiap sumbangan amat dialu-alukan sama ada daripada badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau orang perseorangan yang ingin berinfak bagi membantu golongan memerlukan.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Pengerusi Kumpulan Karangkraf berkata, dengan infak dan kerjasama daripada pelbagai pihak, ia dapat membantu mereka menjayakan program tersebut.

“Sumbangan daripada setiap pertubuhan atau syarikat yang bekerjasama dengan kami akan disalurkan terus kepada pengunjung.

“Kita mahu lebih ramai pihak atau badan korporat bersama-sama menyumbang supaya dapat menyediakan lebih banyak tempat kepada pengunjung dan berkongsi rezeki sempena Ramadan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Firdaus berkata, program tersebut akan bermula pada 13 Mac atau bersamaan 2 Ramadan dan akan berakhir pada 5 April 2024.

Menurutnya, orang ramai yang ingin berkunjung boleh melakukan pendaftaran awal bagi memudahkan urusan pengagihan makanan dan minuman.

“Iftar Ala Madinah akan diadakan bermula hari kedua Ramadan dan akan berlangsung selama 18 hari tidak termasuk Sabtu dan Ahad.

“Pendaftaran perlu dibuat awal supaya kita dapat menyediakan tempat dan makanan yang mencukupi kepada pengunjung supaya tidak berlaku pembaziran,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!