Belum ada keperluan wujudkan ADUN lantikan di Terengganu - Exco

Pada Oktober tahun lalu Kerajaan Terengganu menyatakan masih mempertimbangkan untuk melantik ADUN lantikan yang akan berperanan sebagai semak dan imbang dalam pentadbiran negeri. (Gambar kecil: Wan Sukairi)
Pada Oktober tahun lalu Kerajaan Terengganu menyatakan masih mempertimbangkan untuk melantik ADUN lantikan yang akan berperanan sebagai semak dan imbang dalam pentadbiran negeri. (Gambar kecil: Wan Sukairi)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu masih belum melantik mana-mana pihak sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan sehingga kini sebagaimana dipertimbangkan sebaik mengekalkan pentadbiran negeri itu selepas pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos tahun lalu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, setakat ini tiada keputusan muktamad berhubung perkara itu kerana belum ada keperluan terhadap lantikan tersebut.

Jelas beliau, hanya terdapat dua kategori dalam kalangan ADUN lantikan iaitu melibatkan jantina dan bangsa atau agama.

"Ya tiada (lantikan) setakat ini. Kuota (lantikan) untuk wanita telah dipenuhi apabila kita telah ada ADUN dalam kalangan wanita iaitu ADUN Ladang (Zuraida Md Noor).

"Kategori itu sudah selesai apabila ada ADUN Ladang manakala bagi kategori bangsa atau agama belum lagi. Setakat ini tiada keperluan untuk penuhi kategori tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini.

Selepas memenangi PRN Ogos tahun lalu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ada menyatakan bahawa pentadbiran beliau bersedia mempertimbangkan untuk mewujudkan ADUN lantikan bagi menggerakkan sistem semak dan imbang pentadbiran negeri secara lebih efektif.

Ahmad Samsuri berkata, pertimbangan itu dibuat berdasarkan keperluan sebagaimana dinyatakan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu yang membolehlan lantikan dibuat sehingga maksimum empat orang dan memenuhi syarat tertentu.

Susulan itu, penganalisis politik berpandangan, antara kumpulan yang mungkin terlibat untuk dipertimbangkan bagi proses lantikan adalah dalam kalangan profesional, bukan Islam, orang kurang upaya (OKU) dan badan bukan kerajaan (NGO).

Artikel Berkaitan:

Isu mengenai ADUN lantikan menjadi persoalan susulan ketiadaan pembangkang dalam DUN Terengganu untuk memantau perjalanan yang berisiko mendedahkan pentadbiran kepada penyalahgunaan kuasa.

Pada PRN lalu, Pas Terengganu menyapu bersih semua 32 kawasan DUN menewaskan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sekali gus menyaksikan Ahmad Samsuri yang juga ADUN Ru Rendang kekal sebagai menteri besar pada penggal kali ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!