Ratusan ubur-ubur api terdampar di Pantai Teluk Bidara
KUALA TERENGGANU - Ratusan ubur-ubur api atau nama saintifiknya portuguese man o' war ditemukan terdampar di Pantai Teluk Bidara, Dungun oleh bekas pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada petang Jumaat.
Menurut laman sosial rasmi Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan (RRC), hidupan itu dijumpai oleh alumni Sains Marin UMT, Siti Nur Zahirah Kamarudin sebelum menghubungi Kurator Kanan RRC, Azwarina Mohd Azmi Ramasamy bagi mengesahkan spesies ubur-ubur tersebut.
"Berdasarkan laporan, lebih 100 ekor ubur-ubur ditemui terdampar di sepanjang pantai tersebut.
"Bagaimanapun, difahamkan orang ramai masih bermain pasir di pantai itu serta tidak mengendahkan bahaya serta risikonya walaupun terdapat ratusan ubur-ubur di situ.
"Justeru, pemantauan perlu dilakukan memandangkan masih ramai yang kurang kesedaran mengenai bahaya spesies hidupan berkenaan," kata kenyataan itu.
Berkongsi perkembangan sama, RRC memaklumkan, seorang pelajar bersama sukarelawan UMT turut menemukan 30 ubur-ubur daripada spesies sama pada Khamis.
Katanya, ubur-ubur yang masih hidup itu ditemukan terdampar sepanjang pantai UMT sebelum membawa sampel tersebut ke RRC untuk kajian lanjut.
Jelas kenyataan itu, walaupun belum ada kes yang membawa kepada kematian, terdapat kes dilaporkan sebelum ini melibatkan mangsa sengatan dirawat di hospital.
Katanya, ia masih boleh mengancam dan mengundang kesakitan melampau jika terkena sengatan hidupan itu.
"Mana-mana individu yang terserempak dengan haiwan marin yang meragukan dan berbahaya diminta untuk menghubungi pihak berkaitan antaranya Jabatan Perikanan daerah atau negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pasukan penyelamat.
"Tindakan awal perlu dilakukan supaya semua pihak boleh mengambil angkah berjaga-jaga," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!