Tanah runtuh Cameron Highlands: SAR diteruskan pagi ini

Laporan mengenai tanah runtuh di Cameron Highlands pada Jumaat.
Laporan mengenai tanah runtuh di Cameron Highlands pada Jumaat.
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - [DIKEMAS KINI] Operasi mencari dan menyelamat tiga lagi mangsa dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan tanah di Batu 59, Blue Valley di sini diteruskan pagi ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Md Gezani Md Ghazi berkata, pasukan pertama digerakkan pada jam 8.42 pagi melibatkan 12 anggota bersama dua anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9), Frankie dan Pop.

Menurutnya, kerja-kerja mencari dan menyelamat masih tertumpu kepada dua sektor utama iaitu B dan C berdasarkan kepada lokasi mangsa pertama dan kedua yang ditemukan semalam.

"Buat masa ini, pasukan penyelamat masih menggunakan kaedah manual iaitu peralatan menggali seperti cangkul.

"Bagaimanapun kita sedang dalam proses membawa masuk jentera berantai bagi membantu kelancaran operasi.

"Bagi proses ini, kita telah mendapatkan kebenaran polis untuk mewujudkan laluan baharu dengan melalui kebun-kebun sayur memandangkan jalan utama ke tempat kejadian telah terhalang," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, pemantauan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Jabatan Kerja Raya setakat ini mendapati, tiada pergerakan tanah baharu berlaku.

Katanya, seramai 86 anggota pelbagai agensi termasuk Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berada di tapak kejadian bagi proses mencari dan menyelamat.

Artikel Berkaitan:

"Cuaca pagi ini agak baik. Alat pengesan khas (Ground Penetrating Radar-GPR) akan digunakan sekiranya perlu," katanya.

Bomba menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada jam 2.51 pagi pada Jumaat.

Ketika kejadian, semua mangsa yang dikenali Haphey, 36, isterinya, Om Myue, 38, bapa, Shing Lan Har, 56, serta dua rakan kerja lain, Shing Aung, 39, dan Thang Moung, 25, sedang tidur.

Difahamkan, sebelum kejadian hujan lebat dan berterusan melanda kawasan berkenaan sejak Rabu.

Operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan pada Jumaat berjaya menemui dua mangsa iaitu Haphey dan seorang lagi yang belum dikenalpasti identiti sementara tiga lagi masih tertimbus.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!