Selesai isu kemelut politik pasca-PRU14 bukti kewibawaan Agong payungi negara

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menangani kemelut politik pasca-Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 menjadi benteng akhir paling ampuh yang berjaya mengelak negara terjerumus ke lembah krisis pentadbiran.

Mengimbau detik suram dalam lipatan sejarah negara itu, Al-Sultan Abdullah yang menaiki takhta pada 31 Januari 2019 untuk memayungi kesejahteraan jelata, diuji dengan tanggungjawab amat berat apabila menyaksikan pentadbiran kerajaan Persekutuan bertukar tiga kali dalam tempoh kurang lima tahun selepas PRU14.

Berkongsi pengalaman sebagai antara individu yang paling dekat dengan Seri Paduka ketika itu, bekas Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, beliau menjadi saksi melihat Al-Sultan Abdullah cukup tenang menangani badai politik yang melanda negara ketika itu.

"Baginda menitikberatkan pendekatan diplomasi berbanding konfrontasi, malah memilih pendekatan bermusyawarah apabila membabitkan keputusan besar negara termasuk mengadakan mesyuarat bersama-sama Raja-Raja Melayu.

"Itulah perwatakan sebenar Al-Sultan Abdullah yang menerima pendedahan dari segi kursus-kursus diplomatik ini ketika menuntut di Sandhurst, United Kingdom lagi, selain peranan baginda selaku Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Naib Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC)," katanya kepada Bernama.

Ahmad Fadil yang kini bertugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), juga menyifatkan Al-Sultan Abdullah sebagai individu berpandangan jauh dengan setiap keputusan diambil baginda adalah berpaksikan kepada kepentingan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta negara.

Beliau berkata, walaupun perkara yang dititahkan dalam satu-satu perkara kadangkala tidak dilaksanakan dengan sepenuhnya, Seri Paduka tetap berlapang dada tanpa menzahirkan kemurkaan kepada pihak terlibat.

Menurut Ahmad Fadil, selain pertukaran empat kali Perdana Menteri melibatkan Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, situasi Parlimen tergantung pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga menyerlahkan kewibawaan Seri Paduka selaku tiang seri kepada keamanan serta nadi kepada perpaduan negara.

Artikel Berkaitan:

Bagi pakar Perlembagaan, Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu A. Aziz, Al-Sultan Abdullah telah menggunakan sepenuhnya dan sebaiknya kuasa Yang di-Pertuan Agong yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk mengelak negara terjerumus dalam krisis pentadbiran dan kemelut politik berterusan.

Mengambil contoh peletakan jawatan Dr Mahathir, Shamrahayu berkata, Seri Paduka membuktikan kewibawaan baginda apabila melantik Dr Mahathir sendiri sebagai Perdana Menteri interim bagi memastikan negara sentiasa memiliki ketua kerajaan dan urusan pentadbiran boleh dilaksanakan sementara penggantinya dimuktamadkan.

"Situasi Parlimen tergantung yang pertama kali berlaku dalam sejarah negara pasca-PRU15 lepas sekali lagi membuktikan kewibawaan Yang di-Pertuan Agong menerusi titah cadangan mewujudkan Kerajaan Perpaduan sekali gus menokhtahkan kemelut yang membelenggu,” kata Shamrahayu yang juga Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sementara itu penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed menyifatkan, keberanian Al-Sultan Abdullah dalam membuat keputusan penting dengan turut mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu adalah kunci dalam kejayaan menangani semua krisis yang berlaku.

"Pada saat kematangan ahli politik hanyut dalam pergelutan kuasa, tidak lagi boleh diharapkan untuk menyelesaikan masalah dan menjaga kebajikan rakyat serta negara, kredibiliti Al-Sultan Abdullah dan institusi Raja Berpelembagaan itulah menjadi benteng terakhir dan harapan tunggal rakyat untuk menyelamatkan negara.

"Jika tidak, kita mungkin terjerumus ke dalam konflik berpanjangan sehingga negara tidak stabil, rakyat menderita akibat kelembapan ekonomi, malah tidak mustahil menyaksikan campur tangan kuasa asing dalam urusan dan dasar negara,” kata Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Utara Malaysia itu.

Dalam pada itu, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof Dr Azmi Hassan berkata, legasi pemerintahan Al-Sultan Abdullah yang melalui gelora politik wajar dijadikan iktibar bahawa Raja Berpelembagaan dan institusi diraja bukanlah sekadar satu simbol dan status kedaulatan negara.

"Betul ada yang meremehkan institusi Yang di-Pertuan Agong hanya sebagai simbol monarki berpelembagaan, tetapi apa yang berlaku kita saksikan Al-Sultan Abdullah memberi penyelesaian kepada setiap kebuntuan dalam krisis yang dialami, jelas peranan yang dimainkan itu amat penting.

"Inilah iktibarnya, kebijaksanaan, keberanian Tuanku itu amat diperlukan, apa yang dilakukan Agong itu menyedarkan rakyat betapa pentingnya satu institusi yang tidak berpihak kepada mana-mana dalam menjaga kepentingan negara dan rakyat, iaitu institusi raja kita yang dipandu Perlembagaan,” katanya.

Al-Sultan Abdullah akan menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!