Kerajaan cadang lanjut penempatan panda gergasi
KUALA LUMPUR - Kerajaan bercadang untuk melanjutkan tempoh penempatan pasangan panda gergasi, Xing Xing dan Liang Liang (betina) di Zoo Negara.
Panda itu dipinjamkan untuk 10 tahun sejak Mei 2014 bersempena dengan ulang tahun ke-40 hubungan dua hala antara Malaysia dan China.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan menghubungi Presiden China, Xi Jinping berhubung perkara tersebut.
"Saya telah umumkan akan hubungi kerajaan China khusus Presiden China, Xi Jinping apakah kemungkinan menyambung penempatan panda gergasi itu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Jubli Intan Sepanjang Enam Dekad Memartabatkan Usaha Konservasi Hidupan Liar di Zoo Negara pada Sabtu.
Sejak ditempatkan di Malaysia, Xing Xing dan Liang Liang memiliki tiga ekor anak iaitu Nuan Nuan yang dilahirkan pada 18 Ogos 2015, Yi Yi (14 Jan 2018) dan Sheng Yi (30 Mei 2021).
Nuan Nuan dihantar pulang ke China pada 2017 manakala Yi Yi dan Sheng Yi pada Ogos tahun lepas.
Ditanya sama ada ia satu pembaziran buat kerajaan, beliau memberitahu, tiada pembayaran dibuat bagi mendapatkan kedua-dua panda itu.
"Kita tidak bayar harga panda itu cuma penyelenggaran sahaja. Kalau tanya orang ramai antara faktor yang menarik mereka untuk mengunjungi (zoo) adalah sebab nak lihat panda.
"Walaupun orang cerdik pandai kata boleh pergi negara China untuk lihat panda tetapi bagi rakyat, ini sahaja peluang yang ada untuk mereka, sekali seumur hidup," katanya.
Tambah beliau, perkara itulah yang menjadi pertimbangan.
"Saya tahu kos penyelenggaraan itu agak mahal tetapi inilah sikit belanja yang boleh senangkan pengunjung, jadi kena tengok dari segi itu," jelasnya.
Zoo Negara terima peruntukan RM10 juta
Dalam majlis sambutan tersebut, Anwar mengumumkan kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk perancangan projek di Zoo Negara.
Anwar berkata, kelulusan itu juga ditambah dengan dana terkumpul menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat terlibat berjumlah RM5 juta.
"Saya kumpul dana tambahan RM5 juta daripada program CSR dan daripada kerajaan Persekutuan, saya luluskan RM5 juta. Jadi semuanya sebanyak RM 10 juta.
"Kadar RM10 juta ini kita akan kawal bersama Menteri Besar Selangor dan Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama jawatankuasa Zoo Negara,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar Zoo Negara mewujudkan satu ruang khas yang dinamakan sudut Madani.
“Mungkin boleh ada sudut Madani supaya dapat memartabatkan Zoo Negara.
"Selain itu, pengunjung terutamanya golongan pelajar digalakkan untuk membawa buku catatan. Tidak mungkin 50 penerangan dalam masa tiga atau empat jam dapat difahami oleh mereka sekiranya tidak dicatat," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!