Kerangka Madani akan jadikan ekonomi Malaysia lebih berdaya tahan

Kerangka Madani akan menjadikan ekonomi Malaysia lebih berdaya tahan, kompetitif dan tangkas pada tahun-tahun mendatang dengan kedudukan fiskal kukuh yang akan membolehkan kerajaan merancang program pembangunan dengan lebih berkesan. Gambar hiasan
Kerangka Madani akan menjadikan ekonomi Malaysia lebih berdaya tahan, kompetitif dan tangkas pada tahun-tahun mendatang dengan kedudukan fiskal kukuh yang akan membolehkan kerajaan merancang program pembangunan dengan lebih berkesan. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerangka Madani akan menjadikan ekonomi Malaysia lebih berdaya tahan, kompetitif dan tangkas pada tahun-tahun mendatang dengan kedudukan fiskal kukuh yang akan membolehkan kerajaan merancang program pembangunan dengan lebih berkesan, kata pakar-pakar ekonomi.

Di bawah kerangka ekonomi yang diilhamkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, kerajaan akan menumpu kepada proses menyelesaikan masalah dan nilai-nilai untuk membina moral yang baik dalam membangunkan masyarakat yang lebih baik menerusi enam tonggak, kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Selaras dengan fokus tersebut, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid percaya ketelusan dan keadilan dalam urusan kerajaan akan mewujudkan kepercayaan dan keyakinan daripada rakyat.

"Konsep Madani berfungsi sebagai persiapan bagi pembaharuan ekonomi. Sejak dilancarkan, kerajaan telah melancarkan beberapa dasar seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12 MTR) dan membentangkan Belanjawan 2024.

"Pada awal Januari 2024 kerajaan melancarkan Pangkalan Data Utama (PADU) manakala Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal pula diluluskan oleh Parlimen pada Oktober tahun lepas,” katanya kepada Bernama.

Dalam erti kata itu, beliau berpandangan bahawa pentadbiran kerajaan sekarang menunjukkan komitmen untuk memastikan ekonomi menjadi lebih berdaya saing dengan kewangan berdisiplin.

"Saya rasa sudah sampai masanya untuk pelaksanaan dan (kita akan) dapat melihat hasil yang diharapkan," katanya.

Anwar memperkenalkan konsep Malaysia Madani pada 19 Januari, 2023, satu inisiatif yang mencakupi semua golongan dan kaum, dalam usaha untuk memulihkan maruah dan kegemilangan negara di persada dunia serta bertujuan memacu negara ke arah pembangunan dan kemakmuran.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh mengenai NETR, Mohd Afzanizam berkata, pelan hala tuju itu pada dasarnya berkaitan peralihan tenaga yang pastinya akan membuka peluang baharu kepada perniagaan untuk berkembang maju apabila negara beralih ke arah ekonomi lebih hijau.

"Pada tempoh itu, akan ada keperluan untuk membina kapasiti seperti ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan menggunakan teknologi canggih dalam proses pengeluaran.

"Semua ini akan memerlukan pelaburan yang amat besar, yang mana pelabur asing akan menilai Malaysia dengan sewajarnya dan akan membuat pelaburan selepas melaksanakan kajian daya maju mereka," katanya.

Beliau berkata, semua dokumen itu akan menjadi maklumat penting bagi pelabur untuk membentuk pandangan mereka sebelum membuat pelaburan masing-masing.

Lebih penting lagi, kerajaan perlu menyampaikan semua inisiatif itu secara strategik kepada rakyat selain menggerakkan jenteranya di peringkat Persekutuan atau negeri, katanya.

"Kerajaan juga perlu mempamerkan laporan kemajuan...katakan setiap suku tahun. Menerusi cara itu, kita boleh lihat hasilnya,” katanya.

Senada dengan pandangan itu, pakar ekonomi di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Prof Dr Geoffrey Williams berkata, penjawat awam perlu dilatih semula supaya cara pemikiran lama mereka berubah kepada pendekatan yang cekap dan lebih bijak untuk menggerakkan Madani, menjadikan konsep itu berjaya bagi seluruh negara.

Beliau berpendapat, kerangka Madani menjadi penting dalam mengubah cara rakyat berfikir namun, perlu disematkan ke dalam reka bentuk dasar dan amalan yang memerlukan perubahan dan kepantasan dari segi pelaksanaan.

"Walau bagaimanapun, kita telah mula melihat perubahan pendekatan kepada ekonomi mengikut kerangka Madani dengan pengurusan fiskal lebih baik, lebih tumpuan untuk mengurangkan pembaziran, ketirisan dan rasuah, serta penekanan kepada pembaharuan struktur,” katanya.

Mengenai cukai, Williams yakin Malaysia memerlukan perubahan baharu terhadap cukai dan satu rancangan untuk pembaharuan cukai semasa persidangan Parlimen yang lain untuk mencari ruang fiskal.

"Mengurangkan cukai sentiasa lebih baik daripada meningkatkan cukai, tetapi kerajaan telah mewarisi sistem cukai yang tidak cekap, dibina dari semasa ke semasa dengan cukai ad hoc berdasarkan pemikiran cara lama,” katanya.

Pada 16 Januari lepas, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan bersetuju untuk mengecualikan cukai keuntungan modal (CGT) dan cukai ke atas pendapatan luar negara (FSI) untuk unit amanah, dengan pengecualian CGT berkuat kuasa mulai 1 Januari, 2024 sehingga 31 Disember, 2028 manakala pengecualian FSI berkuat kuasa 1 Januari, 2024 hingga 31 Disember, 2026.

Beliau berkata, menerusi langkah itu, kerajaan akan terus menjadikan pelaburan pasaran modal di Malaysia mesra rakyat, memandangkan lebih 90 peratus daripada pemegang unit amanah adalah individu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!