588 masjid di Kedah gerakkan kempen solat Subuh seperti solat Jumaat
ALOR SETAR - Sebanyak 588 masjid di seluruh Kedah bersama-sama menggerakkan kempen solat Subuh seperti Solat Jumaat.
Exco Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan Kedah, Muhammad Radhi Mat Din berkata, program tersebut adalah sebagai pemangkin kempen pengimarahan masjid seluruh negeri ini.
Menurutnya, kempen anjuran Pejabat Exco Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Kedah itu bukan sekadar hadir memenuhi tuntutan ibadat tetapi juga dihidangkan dengan tazkirah untuk merapatkan ukhuwah umat Islam.
“Bukan mudah nak datang dalam solat Subuh keadaan pagi sejuk. Saya tanya adik sebelah saya tadi, dia datang dari Gurun. Kalau dari Gurun kena datang lagi awal, bukan mudah dan saya ucap tahniah.
“Dimaklumkan program ini digerakkan bersama 588 masjid di seluruh negeri ini, Alhamdulillah kalau program ini dapat digerakkan, keberkatan akan turun di negeri ini,” katanya pada Sabtu.
Beliau hadir ke Masjid Zahir untuk menyertai solat Subuh bagi mewakili Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Exco Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Kedah, Mohd Azam Abd Samat yang mempunyai urusan rasmi lain.
Muhammad Radhi berkata, program-program khusus yang disusunkan oleh pengurusan masjid selepas solat Subuh juga dilihat berjaya menarik minat semua lapisan umur termasuk orang muda untuk mengimarahkan masjid.
Jelasnya, hadir untuk solat Subuh secara berjemaah bukan satu perkara mudah dan sebab itu ia mempunyai kelebihan tersendiri dan disediakan ganjaran besar oleh ALLAH SWT.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!