Malaysia, Uruguay berentap rebut kelima terbaik
SKUAD hoki lima sebelah (5s) wanita negara menundukkan New Zealand 5-3 dalam perlawanan penentuan tempat kelima hingga kelapan pada Kejohanan Hoki 5s Piala Dunia 2024 di Muscat, Oman.
Kemenangan itu membolehkan anak buah Nabil Fikri Mohd Noor membuat perhitungan dengan Uruguay bagi perlawanan klasifikasi tempat kelima dan keenam hari ini.
Nur Zafirah Aziz muncul wira apabila meledak dua gol pada minit pertama dan minit ke-25, manakala tiga lagi jaringan dihasilkan Ellya Syahirah Ellias (minit ke-5), Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri (minit ke-14) dan Nurul Safiqah Mat Isa di penghujung perlawanan.
Tiga gol New Zealand pula disumbangkan oleh Oriwa Hepi pada minit keempat dan penghujung perlawanan serta Leah Arthur-Worsop pada minit ke-26.
Sementara itu, Nabil Fikri mengakui bukan mudah untuk anak buahnya bangkit selepas tumpas 4-6 kepada Afrika Selatan pada aksi suku akhir semalam, tetapi barisan pemain berjaya mempamerkan satu persembahan yang baik menentang New Zealand.
“Pemain telah menunjukkan satu semangat yang tinggi dalam perlawanan ini kerana kami mempunyai objektif pada perlawanan klasifikasi iaitu untuk mendapatkan tempat yang paling baik,” katanya.
Gergasi Amerika Selatan, Uruguay pula mengesahkan perebutan slot klasifikasi tempat kelima dan keenam selepas mengatasi Ukraine 5-3 dalam satu lagi perlawanan.
Sebagai rekod, Malaysia membuka tirai kempen kejohanan dengan membelasah tuan rumah 10-0 sebelum dibelasah 0-1-0 Belanda pada hari sama diikuti seri 4-4 dengan Fiji, sehari kemudian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!