Malaysia terus berjuang, bela nasib Palestin
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia akan terus berjuang bagi membela nasib rakyat Palestin ketika ini.
Beliau berkata, kerajaan akan melakukan apa saja sepertimana yang disuarakan Menteri Luar pada sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York beberapa hari lalu.
"Pertama saya mahu ulas keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) semalam, walaupun keputusan tidak memihak sepenuhnya kepada penduduk Palestin tetapi ada pendirian yang jelas, ICJ mengutuk serangan dan mendesak supaya dihentikan.
"Malaysia akan terus pantau dan lakukan apa sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Jubli Intan Sepanjang Enam Dekad Memartabatkan Usaha Konservasi Hidupan Liar di Zoo Negara pada Sabtu.
Pada Jumaat, ICJ memutuskan Israel mesti membenarkan bantuan kemanusiaan oleh mana-mana pihak ke Gaza malah mereka diarahkan untuk menghalang semua kemungkinan tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Namun pada masa sama, ICJ tidak memutuskan berhubung gencatan senjata.
Pada 12 Januari lalu, ICJ memulakan prosiding bicara kes dibawa Afrika Selatan yang menuntut penggantungan operasi ketenteraan di Gaza di mana ia mendakwa Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!