Motosikal ekzos bising buat kecoh disita

Antara motosikal yang disita polis dalam operasi di Taman Tasik Permai, Ampang pada Khamis lalu.
Antara motosikal yang disita polis dalam operasi di Taman Tasik Permai, Ampang pada Khamis lalu.
A
A
A

AMPANG - Perbuatan biadap kumpulan penunggang motosikal yang mengubah suai guna ekzos 'perang' dengan membuat bising di kawasan Taman Tasik Permai dekat sini mengundang padah selepas ditahan polis pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, operasi itu dijalankan pada jam 12.05 tengah malam oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Menurutnya, Op Motosikal itu bertindak menyita tujuh motosikal jenis Yamaha Lagenda, Yamaha LC, Modenas Kriss serta Honda EX5 untuk tindakan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6(4) akta yang sama.

"Penunggang yang ditahan berusia sekitar lingkungan awal 20-an. Antara kesalahan yang dikesan ialah ubah suai ekzos, tiada brek belakang dan nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi.

"Dalam operasi ini juga kita telah memeriksa 43 individu selain mengeluarkan 31 saman," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, operasi ini berikutan aduan penduduk di kawasan berkenaan mengenai tindakan segelintir golongan remaja yang menunggang motosikal dalam keadaan yang merbahaya serta membuat bunyi bising terutama pada awal pagi.

Jelasnya, orang awam diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.

"Sentiasa memantau dan ambil tahu aktiviti anak-anak setiap hari. Sayangi diri, keluarga dan bertimbang rasa dengan orang sekeliling," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!