'Tanggungjawab moral ahli politik, pesara pilih satu pencen' - PM
SHAH ALAM - Kakitangan awam termasuk wakil rakyat dan menteri Kabinet wajar memilih satu pencen sekiranya mendapat banyak kemudahan itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia dilihat sebagai memenuhi tanggungjawab moral.
"Menteri dan menteri besar yang dapat tiga atau empat pencen mungkin lihat keadaan ini sebagai memenuhi tanggungjawab moral, dia tolak pencen lain dan pilih satu.
"Bagaimanapun, itu mungkin terserah kepada mereka," katanya selepas merasmikan sambutan Jubli Intan Sepanjang Enam Dekad Memartabatkan Usaha Konservasi Hidupan Liar di Zoo Negara pada Sabtu.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman yang berpandangan bayaran bulanan diberikan kepada bekas wakil rakyat perlu diteruskan kerana ia bukan dikategorikan sebagai pencen sebaliknya sumbangan kerajaan kepada wakil rakyat sebagai ganjaran.
Tambah beliau, menurut pelembagaan perkara yang telah dipersetujui sebelum ini tidak boleh dibatalkan.
"Apa yang dimulakan ialah peraturan baharu kepada jawatan baharu termasuk lantikan politik.
"Kita akan bentangkan kepada Jemaah Menteri dan Parlimen kerana melibatkan pindaan undang- undang," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!