10 individu ditahan, sindiket edar dadah tumpas
KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan tangkapan 10 individu di kawasan Jalan Syed Putra, di sini, Rabu lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintenden Norhisham Mustapar berkata, operasi itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju dengan dibantu oleh BSJN IPD Brickfields.
Menurutnya, saringan awal air kencing mendapati enam suspek positif dadah manakala empat suspek lagi negatif.
"Operasi ini bertindak merampas 432 gram pil eramin, 5,420 gram ganja, 254 gram methamphetamine dan 326 gram heroin dengan nilai keseluruhan kira-kira RM81,196.
"Polis juga merampas beberapa aset sindiket untuk tujuan sitaan iaitu wang tunai RM 17,600, sebuah kereta Perodua Axia, motosikal Yamaha Y15ZR," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, suspek direman selama enam hari sehingga 30 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, siasatan masih dijalankan untuk mengetahui punca bekalan dadah diperoleh.
"Polis Kuala Lumpur berharap orang awam dapat menyalurkan maklumat berhubung aktiviti yang menyalahi undang-undang di Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran supaya tindakan dapat diambil ke atas perkara ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!