Safwan trauma lihat abang lemas - Ibu
TEMERLOH - "Safwan kelihatan trauma dan lebih banyak mendiamkan diri sejak semalam (Jumaat)," kata Noriah Abdul Rashid, 35, ibu kepada Muhammed Shafiq Aswad Shahril Naim, 11, yang ditemui lemas bersama dua lagi rakannya dalam kolam sebuah kem tentera di Mentakab dekat sini pada Jumaat.
Kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu disedari rakan mangsa yang kemudiannya meminta bantuan daripada dua anggota di kem terbabit.
Noriah berkata, adik Shafik Aswad, Mohd Safwan Arfan, 9, ditemui duduk di tepi kolam dalam kejadian terbabit.
"Safwan memang rapat dengan abangnya dan sehingga hari ini, dia hanya jawab sepatah sahaja bila ditanya.
"Shafik ada pulang ke rumah kira-kira jam 4.30 petang selepas kelas KAFA dan beritahu nak keluar main bola dengan rakan-rakannya," kata Noriah yang kini sedang sarat mengandung anak ke-6.
Jelasnya, Shafik yang juga anak kedua itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap selain suka tersenyum, ceria serta rajin membantunya yang menjual pelbagai jenis kuih-muih di kem terbabit.
"Dia juga sempat kumpul duit dengan buat COD ke blok-blok untuk beli kasut bola idaman pada bulan lepas.
"Walaupun sedih, saya sekeluarga reda dan anggap ini satu ujian dan dia pun pergi pada hari baik, Jumaat," jelasnya.
Menurutnya, jenazah Shafik Aswad akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Wakaf, Pasir Puteh, Kelantan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!