Intan Sarah mohon maaf kepada Pan-gon
SETELAH 'lunyai' menjadi bahan warganet angkara hantaran kurang sopan menerusi laman sosial, akhirnya pemain bola sepak wanita negara, Intan Sarah Anisah Zulgafli tunduk memohon maaf kepada jurulatih negara, Kim Pan-gon.
Intan Sarah sanggup 'mengibar bendera putih' bersemuka dengan jurulatih dari Korea Selatan itu sejurus skuad Harimau Malaya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Doha malam Jumaat.
Menerusi laman Instagram pemain wanita itu memohon maaf atas kritikan yang dibuat terhadap Pan-gon dan mengakui tindakannya yang gagal mengawal emosi.
"Ia adalah emosi semasa perlawanan, maaf tentang apa yang telah saya perkatakan.
"Saya akui salah dan saya hormati semua orang terutama pemain dan jurulatih KPG (Kim Pan Gon). Selamat maju jaya untuk perlawanan seterusnya," catat Intan Sarah.
Intan Sarah sebelum itu dihujani kritikan peminat bola sepak tempatan selepas mempertikaikan pemilihan pemain gantian oleh Pan-gon ketika aksi Kumpulan E Piala Asia Qatar 2023 berdepan Korea Selatan pada Khamis.
Pemain itu mahu penyerang sensasi, Safawi Rasid dimasukkan sebagai pemain gantian dan mempertikaikan tindakan Pan-gon yang membawa masuk Romel Morales pada masa kecederaan.
"Another stupid sub from KPG (Kim Pan Gon), masukkan lah Pawi (Safawi)," tulis Intan Sarah di laman sosialnya.
Percaturan Pan-gon bagaimanapun berbaloi sekali gus menafikan komen Intan Sarah apabila Morales menjadi duri dalam daging buat Korea Selatan membantu Malaysia menyamakan kedudukan 3-3 untuk mengutip satu mata.
Kritikan Intan Sarah itu menarik perhatian penyokong tanah air apabila terdapat peminat yang mengecam tindakan pemain wanita kebangsaan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!