Parlimen guna sistem eHantar bagi urusan dewan mulai esok
KUALA LUMPUR - Parlimen Malaysia akan melaksanakan sistem eHantar mulai esok sebagai satu daripada usaha terkini mendigitalkan urusan dewan serta meningkatkan mutu perbahasan ahli-ahli Dewan Rakyat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, pertanyaan bagi jawab lisan dan bukan lisan, Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), serta usul Kamar Khas di bawah Peraturan Mesyuarat 17 boleh dihantar melalui sistem tersebut.
"Saya menyeru agar Ahli-Ahli Yang Berhormat memanfaatkan sepenuhnya sistem eHantar yang dibangunkan ini, terutamanya menjelang bermulanya Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga yang akan bermula pada 26 Februari kelak,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Johari berkata, dalam jangka masa terdekat, bukan sahaja Ahli Parlimen, malah orang awam juga akan dapat mengakses lebih banyak ciri laman web Parlimen Malaysia yang bakal ditambah baik.
Beliau berkata, ini termasuk proses penambahbaikan sistem Penyata Rasmi (Hansard) dalam portal Parlimen yang membolehkan para pengguna membuat carian terhadap data-data daripada Hansard dengan lebih mudah.
"Dari segi fizikal, Galeri Awam Dewan Rakyat juga akan melalui proses naik taraf untuk mempertingkatkan pengalaman melawat orang awam di Parlimen bagi menyaksikan sidang mesyuarat Dewan Rakyat seperti aturan urusan mesyuarat, perbahasan dan pertanyaan, di samping memahami peranan petugas-petugas Dewan Rakyat termasuk Yang Dipertua Dewan Rakyat, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Setiausaha Dewan Rakyat, Bentara Mesyuarat, Bentara Parlimen, Pelapor dan lain-lain,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menggalakkan Ahli Dewan Rakyat agar menggunakan kemudahan Penyelidikan Parlimen Malaysia dengan sepenuhnya untuk mendapatkan data-data serta maklumat penting bagi melonjakkan kualiti perbahasan dalam Dewan Rakyat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!