Penduduk harap gangguan air tidak berlarutan


Mohd Sopian menunjukkan bekas air yang digunakan untuk mengisi stok air.
Mohd Sopian menunjukkan bekas air yang digunakan untuk mengisi stok air.
A
A
A

PORT DICKSON - Pengguna air di sekitar Bandar Springhill di sini berharap gangguan bekalan air tidak berlarutan berikutan masalah berkenaan didakwa sudah memasuki hari ke sembilan pada Sabtu.

Penduduk, Mohd Sopian Raduan, 42, berkata, dia yang sudah menetap di taman itu sejak lima tahun lalu tidak terlepas daripada masalah sama.

"Letih juga kerap tak ada air ini, tambahan isteri saya sedang sarat mengandung. Sukar untuk angkat air terutamanya ketika saya keluar bekerja,saya juga berharap pihak berkenaan terus menghantar bekalan air di kawasan terjejas tanpa perlu menunggu laporan oleh penduduk terlibat.

Mohd Sopian
Mohd Sopian

"Urusan harian sama ada memasak, membasuh baju semuanya tergendala selain kami terpaksa ambil keputusan makan di luar sahaja kerana simpanan air terhad di rumah.Saya harap masalah ini segeralah berakhir dan dapat menikmati urusan harian lebih baik," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Taman Springhill fasa 2 di sini pada Sabtu.

Seorang lagi penduduk,M Vijay Kumar, 31, turut senada dengan Mohd Sopian dan difahamkan kawasan perumahan di situ adalah kawasan tinggi.

"Semalam ada lori tangki datang hantar air dan masalah gangguan air ini kebiasaannya dalam tiga hari tetapi kali ini agak panjang sampai sembilan hari," katanya.

Artikel Berkaitan:

Vijay
Vijay

Dalam pada itu di laman sosial Facebook, ada dalam kalangan penduduk di Bandar Springhill meluahkan rasa kecewa akan gangguan bekalan air di kawasan mereka.

Salah seorangnya berkata, Bandar Springhill sudah sembilan hari tiada air dan mahu perkara itu diselesaikan segera susulan ia menyusahkan pengguna.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Choo Ken Hwa ketika dihubungi Sinar Harian berkata,hampir kesemua rumah di Bandar Springhill telah mula menerima bekalan air melalui paip pada Sabtu.

Menurutnya,bagaimanapun rumah di kawasan tinggi masih menghadapi tekanan air rendah tetapi air telah mula sampai ke sinki rumah.

"Gangguan bekalan air ini ada kaitan dengan penurunan jumlah aliran air mentah daripada Empangan Triang (Jelebu), namun Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) sedang berusaha melaksanakan pelbagai usaha untuk meningkatkan aliran air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Ngoi-ngoi di Seremban.


Lori tangki menghantar air pada Jumaat.
Lori tangki menghantar air pada Jumaat.

"Justeru, penduduk diharap menggunakan bekalan air yang diterima secara berhemah kerana bekalan air masih terhad buat masa ini selain lori tangki masih digerakkan ke lokasi," katanya.

Sebelum itu, SAINS dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan bagi mengurangkan kesan gangguan kepada pengguna di Springhill, Port Dickson dan sebahagian kawasan di Seremban pihak SAINS meneruskan penghantaran bantuan bekalan air melalui 20 buah lori tangki serta pengisian air ke dalam kolam sedutan melalui lori jumbo.

"SAINS juga telah meletakkan sebanyak 30 buah tangki statik di kawasan-kawasan yang dikenalpasti.

SAINS amat mengharapkan kerjasama dan pemahaman semua sehingga perkara ini dapat diselesaikan.Para pelanggan boleh terus menghubungi kami ditalian 1-300-88-6982 untuk bantuan lanjut," kata kenyataan itu.