‘Buang’ gambar sebelum ‘pergi’ - Nenek
BACHOK - “Saya pelik siapa buang gambar dia ketika di tadika ke tanah. Saya simpankan, kini hati saya sangat sayu setiap kali tatap gambar ini.”
Demikian luah Zainab Daud, 71, ketika bercerita misteri terjumpa gambar cucunya, Aiman Syafiq Sudirman, 11, ketika menyapu sampah di halaman rumah di Kampung Renggas, Badak dekat sini, sebelum mendapat khabar kanak-kanak itu lemas di kolam latihan sebuah kem tentera di Temerloh, Pahang pada Jumaat.
Menurut Zainab, mereka baharu sahaja bertemu pada Sabtu minggu lalu ketika mangsa sekeluarga bersama ibu bapa dan dua adiknya pulang ke kampung halaman di Kelantan untuk menghadiri kenduri kahwin di sebelah besannya.
Dia berkata, ketika itu, anak sulung daripada tiga beradik itu berkelakuan manja seperti biasa dan meminta dia memasak untuknya.
“Dia bahasakan dirinya ‘abe’, sebaik sampai ke rumah ini, dia akan peluk cium saya dan meminta saya memasak untuknya serta makan dengan sangat berselera.
“Semasa mereka sekeluarga nak balik semula ke Pahang pada Isnin, Aiman Syafiq bersalam dengan saya dua kali.
"Selepas itulah, saya terjumpa gambarnya di tanah dan terfikir kenapa dia tinggalkan gambar yang dah buruk ni.
"Tak pernah dia buat macam ni,” katanya ketika ditemui di rumahnya dekat sini pada Sabtu.
Bercerita lanjut, Zainab berkata, dia mengetahui kejadian lemas menimpa cucunya itu daripada bapa kanak-kanak tersebut, Koperal Sudirman Mustapa, 36, yang menghubunginya pada lewat petang Jumaat.
“Masa itu saya dah bersiap nak berlepas ke Pahang tetapi tidak lama selepas itu, saya dapat tahu mangsa sudah meninggal dunia.
“Saya reda dengan kehilangannya kerana dia ‘pergi’ pada hari baik, Jumaat dan gambar (arwah) ini menjadi kenangan pada saya selamanya,” ujarnya
Sementara itu, jenazah Aiman Syafiq yang tiba di Bachok dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Badak, Melawi selepas Isyak pada Sabtu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan tiga anak anggota tentera termasuk, Aiman Syafiq lemas bersama dua lagi rakannya, Amar Mukhlis Mohd Anizan, 13, dan Muhammad Shafiq Aswad Shahril Naim, 11 di kolam latihan kereta kebal sedalam kira-kira 2.1 meter.
Jenazah Amar Mukhlis dikebumikan di Tanah Perkuburan Kuau dekat sini manakala arwah Muhammad Shafiq Aswad di Tanah Perkuburan Kampung Wakaf, Pasir Puteh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!