Penghantar makanan rugi RM82,000 ditipu skim pelaburan tidak wujud

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

MELAKA - Seorang penghantar makanan terpaksa berputih mata apabila kerugian RM82,000 selepas ditipu skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, pemuda berusia 25 tahun itu tertarik dengan skim pelaburan tersebut selepas melihat iklan menerusi kumpulan Telegram Sahabat Invest Master Bina yang kononnya membuat pelaburan pertukaran mata wang asing pada 19 Januari lepas.

"Scammer menjanjikan hasil pelaburan yang tinggi iaitu melabur RM300 akan mendapat keuntungan RM5,000 dengan hasil pelaburan juga bergantung (kepada) berapa modal yang dibayar, serta hasil keuntungan pelaburan akan dibahagikan di antara pelabur dengan pihak syarikat iaitu pelabur 60 peratus dan syarikat 40 peratus.

"Pelabur juga dijanjikan akan mendapat keuntungan dalam masa tiga hingga enam jam,” katanya dalam kenyataan malam Sabtu.

Tertarik dengan pulangan diberikan, Ahmad Jamil berkata mangsa kemudiannya melabur sebanyak RM20,000 pada kali pertama diikuti sembilan lagi transaksi ke dalam enam pemilik akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM82,000 hasil simpanan sendiri dan bapanya.

Beliau berkata, bagi mendapatkan wang hasil pelaburan tersebut, mangsa diminta melakukan transaksi namun penghantar makanan tersebut membuat laporan polis pada 8 malam semalam selepas berasa diperdayakan.

Justeru, Ahmad Jamil menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan mana-mana iklan pelaburan tidak sah dan mereka boleh membuat semakan menerusi laman sesawang ccid.rmp.gov.my/semakmule.

"Masyarakat juga boleh membuat semakan menerusi aplikasi WhatsApp CCID Infoline di talian 013-2111222, Facebook Rasmi JSJK, talian Pusat Respons Scam Kebangsaan (997) dan aplikasi Whoscall dan Truecall yang boleh dimuat turun ke dalam telefon pintar masing-masing,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!