Kembara kenali Borneo tonjol kemuliaan peribadi sebenar individu - Agong

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat tiba ke Majlis Jamuan Negara Sempena Tamat Tempoh Pemerintahan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 malam Sabtu. Foto: Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat tiba ke Majlis Jamuan Negara Sempena Tamat Tempoh Pemerintahan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 malam Sabtu. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kembara Kenali Borneo membuatkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menginsafi hakikat bahawa kemuliaan peribadi seseorang bukan diukur daripada harta, wang ringgit, pangkat mahupun darjat.

Menerusi Titah Diraja pada Majlis Jamuan Negara sempena tamat pemerintahan baginda selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16, Seri Paduka bertitah, kemuliaan diri diukur daripada kehidupan serba sederhana namun penuh dengan keikhlasan hati untuk hidup dalam sebuah masyarakat yang teguh bersatu padu.

"Kembara Kenali Borneo juga memberi iktibar kepada beta dan beta harap seluruh pemimpin negara sentiasa ikhlas mendekati rakyat jelata dengan membina jambatan perpaduan yang merentasi segala bentuk perbezaan dan rintangan,” titah Al-Sultan Abdullah di sini malam ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta Jemaah Menteri turut hadir pada majlis itu.

Tempoh pemerintahan selama lima tahun Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong akan tamat pada 30 Januari ini.

Baginda juga bertitah raja mahupun pemimpin adalah tempat rakyat menumpang teduh, berpegang untuk berdiri teguh dan kerana itu, sepanjang lima tahun pemerintahan Seri Paduka sering menyantuni, mendengar keluh resah mereka serta menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.

Artikel Berkaitan:

Al-Sultan Abdullah bertitah melalui pengembaraan di Borneo dan seluruh pelosok negara, didapati tertanam dalam sanubari setiap rakyat Malaysia semangat perpaduan yang tinggi dan harapan agar mereka tidak dipinggirkan serta dijadikan taruhan demi menjayakan agenda tertentu.

Menganggap Kembara Kenali Borneo yang bermula di Tawau, Sabah hingga ke Telok Melano, Sarawak dari 3 hingga 13 September 2023 umpama mimpi indah yang tidak mungkin dapat dilupakan, baginda menzahirkan terima kasih kepada rakyat di kedua-dua negeri atas sambutan yang diberikan.

"Niat beta hanyalah untuk mengembara dari Sabah hingga ke Sarawak sambil menikmati keindahan alam serta bertemu rakyat jelata daripada pelbagai etnik dan kebudayaan.

"Tidak terlintas di fikiran untuk menerima sambutan yang begitu hebat. Ribuan rakyat jelata daripada pelbagai bangsa, agama dan suku kaum keluar memenuhi sepanjang jalan raya yang menjadi laluan beta tanpa mengira siang atau malam, panas mahupun hujan semata-mata untuk menyambut kehadiran beta sekeluarga," titah Al-Sultan Abdullah.

Seri Paduka juga bertitah sehingga hari ini, baginda dan Tunku Azizah masih lagi dibuai dengan pengalaman indah yang sukar digambarkan dan ada kalanya akan menonton semula semua video serta gambar dirakam sepanjang 11 hari kembara.

Yang di-Pertuan Agong turut berkenan membacakan dua pantun istimewa sebagai menghargai kenangan dicipta sepanjang mengharungi perjalanan sejauh 2,332 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei.

Pantun Al-Sultan Abdullah berbunyi:

Kapal belayar patah kemudi,

Ambil pelepah bawa berenang,

Orang Borneo peramah dan berbudi,

Hingga kini saya sekeluarga masih terkenang.

Tinggi merimbun pohon kelapa,

Tempat berteduh seisi keluarga,

Kembara Kenali Borneo payah dilupa,

Beribu tahun dikenang juga. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!