Malaysia tutup kempen enam terbaik di Oman
SKUAD hoki lima sebelah (5s) wanita negara menutup kempen Kejohanan Hoki 5s Piala Dunia 2024 di Muscat, Oman di kedudukan keenam selepas tewas 4-8 kepada Uruguay dalam aksi penentuan kedudukan kelima dan keenam
Empat gol skuad negara disumbangkan dua daripadanya menerusi gol Zati Alyani Muhamad Zubir sementara Nur Zafirah Aziz yang menyumbang enam gol secara keseluruhan serta Nurul Safiqah Mat Isa, masing-masing menjaringkan satu gol pada perlawanan yang semua gol padang.
Sementara itu, pengendali skuad hoki 5s negara, Nabil Fikri Mohd Noor, menyifatkan walaupun tewas 4-8, namun pemain telah memberikan satu persembahan yang baik serta memberikan satu tentangan hebat kepada Uruguay.
“Kami perlu menerima bahawa perlawanan terakhir ini, pasukan Uruguay lebih mendominasi permainan dan menggunakan peluang yang mereka miliki untuk meraih kemenangan.
“Sepanjang perlawanan Piala Dunia berlangsung, pemain telah menunjukkan peningkatan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan.
“Ini merupakan kejohanan tertinggi yang pernah disertai pasukan hoki 5s wanita negara dan dengan prestasi yang telah ditampilkan pemain, saya sebagai jurulatih amat gembira dengan apa yang telah ditampilkan oleh pasukan saya,” katanya.
Uruguay mengejutkan negara dengan dua gol pantas pada minit pertama dan ketiga menerusi Teresa Viana dan Manuela Vilar sebelum seminit kemudian, Malaysia mula bertindak balas dengan menjaringkan gol pertama menerusi Zati Alyani Muhamad Zubir pada minit kempat.
Minit keenam, giliran Nur Zafirah Aziz menyumbang gol buat Malaysia yang sekaligus mengikat kedudukan 2-2 namun berselang dua minit kemudian, Teresa Viana sekali lagi muncul selaku penjaring buat Uruguay yang turut menutup aksi separuh masa pertama dengan Uruguay mendahului satu gol 3-2.
Separuh masa kedua, Teresa Viana menjaringkan hatrik pada minti ke-16 sebelum Zati Alyani Muhamad Zubir menyumbang gol kedua peribadinya untuk kedudukan berubah 4-2.
Bagaimanapun seminit kemudian, Uruguay terus menjarakan kedudukan dengan jaringan kelima menerusi Florencia Penalba.
Teresa Viana terus mencipta sensasi tersendiri pada perlawanan ini apabila menjaringkan dua gol berturut-turut pada minit ke-23 dan 24 sebelum pasukan negara bangkit cuba mengejar kedudukan menerusi Nurul Safiqah Mat Isa, seminit kemudian.
Biarpun begitu Teresa Viana tampil menjaringkan hatrik berganda yang sekaligus membantu Uruguay memenangi kedudukan kelima dengan kemenangan 8-4.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!