Anwar kesal tindakan keterlaluan bantah tulisan jawi

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
A
A
A

SERDANG - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal dengan tindakan segelintir pihak yang membantah pembelajaran tulisan jawi sehingga menyentuh perasaan orang Melayu.

Menurutnya, tulisan jawi merupakan khazanah orang Melayu dan tindakan melabel tulisan itu sebagai kuno adalah keterlaluan.

Katanya, beliau secara dasarnya tidak mahu terus menghangatkan isu berkenaan namun beberapa kenyataan oleh pihak yang membantah dilihat tidak wajar kerana pembelajaran itu hanya melibatkan tulisan semata-mata.

"Kadang-kadang kenyataan pihak yang membantah itu agak keterlaluan sehingga menyentuh perasaan orang Melayu. Seolah-olah (tulisan) jawi sudah kuno. Memang sanskrip kuno orang masih belajar, masih ada relevan sebagai contoh Latin kuno (masih dipelajari) tapi dalam bidang ilmu masih dikuasai.

"Bukan untuk kuasai sehingga jadi tulisan kebangsaan tetapi untuk kita mengetahui (sejarah). Saya tidak fikir bahasa Melayu itu tidak dapat dikuasai tanpa sedikit pengetahuan asalnya (tulisan jawi). Ini khazanah bahasa kebangsaan, bukan khazanah sekadar satu serpihan sahaja dan yang diperkenalkan itu juga pun tidaklah sehingga satu bab, cuma dua tiga halaman sekadar kenal asal dia sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Emas Kepada Murid-murid Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Selangor di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, adalah lebih baik setiap pertikaian dileraikan dalam forum dialog bagi mengelak wujud ketegangan antara kaum tertentu.

"Bila terlalu dihangatkan, ia akan mengundang respons seolah-olah ada satu usaha untuk menghina atau mempertikai sejarah dan khazanah bahasa dan orang Melayu. Jadi perkara ini tidak sihat.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu, saya beri nasihat supaya kalau boleh (isu pembelajaran jawi) dileraikan dengan mengadakan dialog kerana kita mahu elak ketegangan yang akhirnya mendatangkan kerugian kepada negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!