Lelaki OKU maut terperangkap dalam kebakaran kedai
GURUN - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) maut selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah kedai motosikal di Taman Sri Utama Gurun di sini pada Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, mangsa berusia 34 tahun ditemui dalam tandas premis berkenaan.
"Sebelum itu, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak dan BBP Yan dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 4.40 pagi melalui talian MERS 999.
"Setiba di lokasi kejadian, komander operasi melaporkan berlaku kebakaran melibatkan sebuah kedai kelas A satu tingkat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Wan Mohd Hamizi memberitahu, kedai terbabit didapati mengalami kemusnahan hampir 90 peratus
Sehubungan itu, kata beliau, anggota bomba membuat pemadaman kebakaran menggunakan pancutan dari jentera BBP Guar Chempedak dan BBP Yan dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.
Menurut Wan Mohd Hamizi, kerja-kerja memotong pintu utama jeriji besi turut dilakukan bagi mencari mangsa.
"Pihak bomba kemudiannya menemui seorang lelaki dalam tandas premis sebelum mangsa disahkan maut oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Mangsa tidak melecur bagaimanapun maut selepas terperangkap dalam kebakaran itu," katanya.
Beliau memaklumkan, operasi terkawal pada jam 5.17 pagi.
Katanya, operasi itu turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!