Makluman penutupan jalan sempena keberangkatan balik YDPA
KUALA LUMPUR - Tujuh laluan di sekitar ibu negara akan terlibat dengan penutupan penuh manakala 13 laluan akan ditutup secara berperingkat pada Selasa ini sempena Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri dalam kenyataan pada Ahad berkata, jalan yang terlibat penutupan penuh bermula pada 9 pagi dan dibuka secara berperingkat adalah Jalan Damansara ke arah Jalan Parlimen (dari arah Istana Lama) dan Jalan Sultan Abdul Halim ke arah Jalan Parlimen.
Turut ditutup, Lebuhraya Sultan Iskandar ke arah Jalan Parlimen, Jalan Kuching ke arah Bulatan Dato' Onn, Jalan Salahudin ke arah Bulatan Dato' Onn, Jalan Kuching/Jalan Sultan Ismail ke arah Bulatan Dato' Onn dan Jalan Tun Perak ke arah Bulatan Dato' Onn.
Jalan yang terlibat penutupan sementara bermula pada 9 pagi dan dibuka secara berperingkat adalah Lebuhraya Sultan Iskandar ke arah Jalan Damansara, Jalan Travers ke arah Jalan Damansara (dari arah Muzium Negara), Jalan Sultan Hishamuddin ke arah Jalan Damansara (dari arah Bulatan Hishamuddin), Jalan Tun Sambathan ke arah Jalan Damansara, Jalan Syed Putra ke arah Jalan Istana, Jalan Dewan Bahasa ke arah Jalan Istana, Jalan Sungai Besi ke arah KL-Seremban Expressway, Lingkaran Tengah/ Jalan Connaught dari arah Lebuhraya Syed Putra.
Selain itu, New Pantai Expressway (NPE) dari arah Pantai Dalam, Maju Expressway dari arah Tol Salak South, Lebuhraya Kesas dari arah Sungai Besi, Lebuhraya Kesas dari arah KL/Seremban Expressway dan Sukom Interchange ke arah Lebuhraya Kesas.
"Susulan itu, JSPT Kuala Lumpur akan menempatkan 91 kekuatan yang terdiri daripada pegawai kanan dan pegawai rendah polis pada hari berkenaan bagi mengawal lalu lintas agar istiadat dapat berlangsung dengan jayanya, " kata beliau.
Mohd Azman turut menasihatkan pengguna jalan raya untuk tidak melalui laluan yang terlibat dengan penutupan penuh bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mengikuti arahan anggota polis trafik yang bertugas di lokasi.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Al-Sultan Abdullah yang melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan 2019 akan menamatkan tempoh pemerintahan selama lima tahun pada 30 Januari ini.
Raptai istiadat keberangkatan balik Al-Sultan Abdullah lancar
Dalam pada itu, raptai istiadat keberangkatan balik Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah pada Ahad berjalan lancar.
Raptai istiadat yang berlangsung di Anjung Utama Istana Negara, Dataran Parlimen dan Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.
Di Dataran Parlimen sesi raptai penuh dilaksanakan melibatkan acara penting istiadat seperti Kawalan Kehormatan Utama dan persembahan pasukan pancaragam oleh anggota ATM serta tembakan meriam.
Pada acara itu Seri Paduka dijadual menerima persembahan tabik 'Hormat Diraja' serta acara menghadap dan bersalaman oleh anggota Kabinet dan tetamu kehormat.
Di Kompleks Bunga Raya, KLIA di Sepang pula keberangkatan balik Seri Paduka berdua diiringi perarakan bergajah selain persembahan kebudayaan yang sekali gus memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai kegemilangan kerajaan Melayu.
Al-Sultan Abdullah akan menamatkan tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini dan digantikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!