Tunku Ismail mampu bawa Johor capai status negeri maju 2030 - MB
JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempunyai visi dan keupayaan memacu hala tuju pembangunan negeri ini selari dengan aspirasi ayahandanya Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dalam merealisasikan hasrat Johor menjadi negeri maju menjelang 2030.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Pemangku Sultan itu sentiasa memberi penekanan terhadap pendidikan di semua peringkat bermula daripada sekolah rendah, menengah dan pengajian tinggi dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
"Sebab itu Tunku Ismail memberi penekanan yang cukup besar supaya kerajaan dapat bersama-sama membentuk Bangsa Johor yang mempunyai tahap pendidikan yang baik, mutu pelajaran yang membanggakan dan jiwa untuk berkhidmat dan berbakti kepada bumi bertuah ini. Itu yang saya nampak dalam karektor baginda.
"Saya yakin daripada segi visi, harapan dan aspirasi, Tunku Ismail selari dengan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang mahu membangunkan negeri ini, seperti yang sepatutnya berlaku," katanya kepada Bernama dalam temu bual di kediaman rasminya di Saujana di sini baru-baru ini.
Tunku Ismail, yang merupakan anakanda sulung daripada enam adik beradik itu, dilantik Pemangku Sultan Johor selepas ayahandanya Sultan Ibrahim memulakan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 mulai 31 Januari ini.
Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Januari ini.
Menurut Menteri Besar Johor itu, Tunku Ismail merupakan seorang pemimpin yang bersungguh-sungguh ketika melakukan sesuatu hal dan bukan sekadar 'melepaskan batuk di tangga' apabila telah menetapkan sesuatu matlamat untuk negeri ini.
"Sebab itu, kalau kita tengok daripada segi (pasukan bola sepak) Johor Darul Ta'zim (JDT), bukan nak berlagak tetapi standard JDT memang luar biasa. Berapa kali kita jadi juara, 10 tahun berturut-turut. Tahun lepas kita capai 100 jaringan gol semasa perlawanan terakhir. Ini semua menunjukkan ciri-ciri Tunku Ismail dalam melakukan sesuatu," katanya.
Beliau berkata, ciri-ciri yang dimiliki Tunku Ismail itu juga terserlah sewaktu baginda menzahirkan penubuhan pasukan sukarelawan Southern Volunteers (SV) yang dibarisi ribuan generasi muda Bangsa Johor daripada pelbagai latar belakang kaum dengan menggenggam satu misi yang sama iaitu untuk berbakti kepada negeri.
"Saya mula berkhidmat di bawah naungan Tunku Ismail apabila menjawat jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor. Pada masa itu, kita menggerakkan SV untuk meningkatkan kadar vaksinasi Bangsa Johor ketika pandemik Covid-19. Pada awalnya Johor adalah antara negeri yang terendah dari segi peratusan (vaksinasi) tetapi dalam masa sebulan kita menjadi negeri dengan peratusan tertinggi. SV yang di bawah naungan baginda telah membantu (ke arah) usaha itu.
"Selain itu baginda turut fokus membangunkan pusat aktiviti anak muda menerusi Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) yang akan dibina di kesemua 10 daerah di negeri ini dalam tempoh lima tahun bermula 2022. TMIYC menempatkan pelbagai aktiviti untuk golongan belia dan anak muda menjalankan gaya hidup sihat," katanya.
Tunku Ismail diputerakan pada 30 Jun 1984 di Johor Bahru dan merupakan putera sulung daripada enam orang adik-beradik kepada Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.
Baginda diijab kabul dengan Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor di Istana Bukit Serene, di sini, pada 24 Oktober 2014 dengan pasangan diraja itu dikurniakan empat cahaya mata. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!