Ahli Parlimen Bukit Gantang ketuai jawatankuasa tangani sara hidup
TAMBUN - Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dilantik mengetuai salah satu jawatankuasa di bawah Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bekas pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu akan membantu dalam mencari ikhtiar dan penyelesaian terhadap isu harga barang dan kos sara hidup.
"Nanti saya tugaskan Syed Abu Hussin Hafiz bantu dalam mesyuarat penyelarasan harga barang makanan di bawah NACCOL.
"Saya mengesahkan supaya dia akan mengepalai kluster yang membantu tambah ikhtiar supaya Jualan Madani ini akan dipertingkatkan.
"Yang penting ialah kita cari ikhtiar. Percayalah ia suatu perkara yang tidak mudah kerana harga pasaran di dunia sudah meningkat dan sudah tentu memberi kesan kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jualan Termurah Madani barangan basah dan kering di Padang Taman Klebang Restu, Chemor dekat sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Anwar berkata, program Jualan Termurah Madani barangan basah dan kering itu dapat membantu memenuhi permintaan rakyat dan akan diperluaskan ke seluruh negara.
"Kita telah mengambil pelbagai langkah berikutan kos sara hidup yang meningkat, walaupun jumlah STR (Sumbangan Tunai Rahmah) kita tambah, tetapi tidak cukup kalau tidak kawal harga barang.
"Melihat sambutan hari ini, kita kena perbanyakkan dan perluaskan jualan murah terutama barangan keperluan ikan, ayam, beras dan sebagainya," katanya.
Pada program itu, sebanyak 12 tan beras yang dijual pada harga RM15 bagi 5 kilogram (kg) dan RM30 untuk 10kg habis dijual dalam tempoh hampir dua jam sejak dibuka sekitar jam 8 pagi.
Bagi suri rumah, Fairos Mohd Nordin, 48, dia tidak sempat membeli beras meskipun sudah tiba jam 9.30 pagi.
"Sasaran saya untuk beli beras tapi terkejutlah apabila khemah jualan sudah kosong.
"Saya beli ayam dan hasil laut kerana harga murah berbanding harga pasaran. Saya berharap jualan seperti ini kerap dilaksanakan di semua tempat," katanya.
Sementara itu, Anwar turut mengadakan tinjauan dan melawat kaunter bergerak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi semakan penerima STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di sebuah pasar raya di Meru Raya dekat sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!