Samun: Polis cekup dua remaja bawah umur

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KEMAMAN - Polis menahan dua remaja yang dipercayai terlibat melakukan samun ke atas seorang lelaki yang sedang melakukan kerja membuat rumah di tepi lorong Al-Amin, Kampung Geliga Besar dekat sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, dua lelaki berusia 16 tahun itu ditahan jam 10 malam pada hari yang sama bagi membantu siasatan berhubung kejadian terbabit.

"Polis telah menerima laporan berkaitan kejadian samun daripada seorang lelaki mengenai kejadian itu yang berlaku pada jam 5 petang.

"Semasa kejadian, mangsa didatangi empat lelaki menaiki dua buah motosikal jenis Honda EX5 warna hitam dan salah seorang daripada mereka meminta wang daripada mangsa sebanyak RM1,000.

"Apabila pengadu enggan memberi wang yang diminta, mereka telah memukul mangsa di bahagian kanan kepala dan bahu menggunakan kayu.

"Kemudian salah seorang daripada suspek telah merampas beg silang milik mangsa dan mengambil wang tunai RM470 dan sebuah telefon bimbit," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Susulan daripada kejadian itu, Hanyan berkata, mangsa mengalami kecederaan di bahagian bahu dan kepala.

Mengulas lanjut, Hanyan berkata, dua remaja lelaki terbabit sudah ditahan pada hari sama manakala dua lagi suspek masih dikesan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!