Cuaca panas, kering landa Malaysia sehingga Mac
SHAH ALAM - Malaysia kini berada pada fasa kedua Monsun Timur Laut dengan kurang taburan hujan yang akan menyebabkan cuaca kering dan panas sehingga hujung Mac.
Pejabat Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan cuaca kering terutamanya di utara negeri Semenanjung iaitu Kedah, Perlis dan Perak selain Kelantan dan Terengganu.
Menurut kenyataan itu, keadaan hujan mulai berkurangan di utara Kedah dan Perlis apabila beberapa kawasan tidak menerima hujan selama dua minggu.
"Dua negeri ini juga dijangka menerima defisit hujan antara 20 hingga 40 peratus berbanding jumlah biasa.
"Pada bulan Februari, situasi sama dijangka akan turut merangkumi Pulau Pinang, Perak Utara, utara Kelantan dan utara Terengganu serta di timur Sabah.
"Bagi negeri lain seperti Melaka dan Negeri Sembilan, walaupun dijangka akan menerima jumlah hujan yang biasa namun Februari merupakan bulan yang sememangnya kurang hujan," katanya.
Dalam kenyataan sama, MET Malaysia menerima maklumat bahawa jumlah paras air di empangan tertentu mengalami penurunan berbanding kebiasaan.
Menurutnya, pada penghujung Monsun Timur Laut kebiasaannya negara akan mengalami cuaca yang agak panas di kawasan tertentu.
"Orang ramai dinasihatkan untuk menjimatkan penggunaan air, berhati-hati ketika melakukan aktiviti luar, tidak melakukan pembakaran terbuka dan minum air secukupnya.
"Dapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial MET Malaysia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!