Jualan termurah Madani: 20 tan beras harga rahmah jadi rebutan

Gelagat pengunjung yang hadir membeli barangan makanan asas pada Program Jualan Termurah Madani di Padang Taman Klebang Restu pada Ahad.Foto Bernama
Gelagat pengunjung yang hadir membeli barangan makanan asas pada Program Jualan Termurah Madani di Padang Taman Klebang Restu pada Ahad.Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Dua puluh tan beras putih import habis dijual dalam masa tidak sampai dua jam sempena program Jualan Termurah Madani di Padang Awam Taman Klebang Restu dekat sini, pada Ahad.

Tinjauan Bernama di lokasi jualan mendapati beras import jenama terpilih 10 kilogram dijual pada harga RM30 berbanding harga asal lebih RM40 untuk sekampit.

Harga produk laut seperti sotong, udang dan ikan dijual di bawah harga pasaran dan pengunjung boleh memilih saiz yang bersesuaian untuk keperluan mereka.

Bagi peniaga makanan, Mohd Zaki Che Hahsim, 43, berkata, beliau beratur seawal 8.30 pagi tadi bagi mendapatkan bekalan beras pada harga rahmah.

"Penjimatan lebih RM10 memang berbaloi kerana dapat jimatkan perbelanjaan perniagaan saya sebagai peniaga kecil dan apabila ada jualan murah seperti ini kita ambil peluang tidak kira jenama apa, janji berkualiti serta murah.

"Berniaga nasi berlauk ini memang banyak dugaan ketika ini, jika nak naikkan harga, kita bimbang pelanggan merungut kerana rata-rata yang membeli pun bukan orang senang jadi kita mudahkan pelanggan," katanya ketika ditemui hari ini.

Suri rumah, Nurul Fatihah Johari, 38, yang mendapat tahu mengenai program jualan murah itu di media sosial tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan untuk keluarganya.

"Biasanya beras seberat 10 kilogram yang dibeli akan habis dalam tempoh tiga minggu sebab kami lima beranak, jadi hari ini saya beli ikut kemampuan saya.

Artikel Berkaitan:

"Saya hanya membeli satu kampit sahaja dan tak perlu rasanya buat pembelian panik, lagi pun beras jika lama disimpan pun tidak elok," katanya.

Sementara itu, V. Krishnamuthu, 52, berkata, jualan murah itu dapat membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat dan beliau berharap inisiatif itu diadakan lebih kerap lagi.

"Memang ini peluang yang saya tunggu untuk dapatkan bekalan beras, dapat peluang sebulan dua kali pun sudah memadai kerana bukannya kita beli beras setiap minggu serta boleh berjimat RM20 hingga RM30 pun kita bersyukur.

"Beras makanan ruji rakyat negara ini, bila ada peluang jualan murah sudah pasti melegakan kami golongan yang berpendapatan rendah, puas hati dapat beli barangan keperluan hari ini termasuk barangan basah," katanya.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melakukan tinjauan sempena program berkenaan.

Beliau menghabiskan masa kira-kira sejam menyantuni peniaga dan pengguna yang mengunjungi jualan tersebut.

Turut ditawarkan menu Buffet Madani RM5 yang menjadi rebutan pengunjung. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!