SMSP kemuka lima tuntutan bebaskan Gaza

Sebahagian peserta yang menyertai Protes Genosid Israel terhadap Palestin berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak pada Ahad. - FOTO: SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR (Gambar kecil: Dr Habibah, Nazari)
Sebahagian peserta yang menyertai Protes Genosid Israel terhadap Palestin berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak pada Ahad. - FOTO: SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR (Gambar kecil: Dr Habibah, Nazari)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seketariat Malaysia Solidarity Palestine (SMSP) mengemukakan lima tuntutan kepada negara besar dunia dan masyarakat antarabangsa bagi membebaskan Gaza daripada serangan tidak berhati perut rejim Israel.

Ketua Seketariatnya, Dr Habibah Abdul Halim berkata, tuntutan berkenaan termasuk mendesak genjatan senjata sepenuhnya dan embargo senjata atas Zionis Israel.

"Kita berharap dunia dapat mewujudkan koridor kemanusiaan di Rafah dan lain-lain koridor agar nasib pelarian perang terbela.

"Ini termasuklah memberi tumpuan kepada anak kecil dan bayi agar mereka dapat makanan dan rawatan kesihatan yang mencukupi dan menyeluruh," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan Protes Genosid Israel terhadap Palestin berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak dekat sini pada Ahad.

Antara mereka yang menyertai Protes Genosid Israel terhadap Palestin berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak pada Ahad. - FOTO: SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR
Antara mereka yang menyertai Protes Genosid Israel terhadap Palestin berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak pada Ahad. - FOTO: SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR

Protes selama lebih sejam itu turut dihadiri wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis terdiri daripada beberapa pertubuhan antaranya BDS Malaysia, Viva Palestine Malaysia (VPM), Al Quds Foundation Malaysia, IKRAM Health, Centre for Human Rights Research & Advocacy (CENTHRA) dan Malaysia Women’s Coalition for Al Quds and Palestine (MWCQP).

Dalam pada itu, Dr Habibah berkata, komuniti Islam pelbagai bangsa di negara ini turut menuntut agar Benjamin Netanyahu dan sekutu-sekutunya yang terlibat dalam jenayah perang kemanusiaan diheret ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga mendesak agar media barat menghentikan laporan tidak benar yang mengambarkan seolah-olah penentangan yang dibuat oleh pejuang Hamas sebagai tindakan ganas.

"Mereka (pejuang Hamas) bertindak hanya untuk mempertahankan negara mereka daripada cengkaman penjajah Israel yang datang menceroboh dan menyerang," katanya.

Tegasnya, semua negara Islam di dunia juga didesak untuk bersepakat memutuskan hubungan diplomatik dengan Zionis kerana dengan cara itu kemaraan dan tindak tanduk rejim itu dapat disekat.

"Apa yang berlaku askar rejim semakin besar kepala dan menyerang orang awam tanpa belas kasihan atas alasan untuk memburu tentera Hamas yang dicop mereka sebagai pengganas," ujarnya.

Tinjauan Protes Genosid Israel terhadap Palestin yang diadakan berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak pada Ahad.- FOTO: SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR
Tinjauan Protes Genosid Israel terhadap Palestin yang diadakan berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak pada Ahad.- FOTO: SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR

Sementara itu, Pengerusi BDS Movement Malaysia, Profesor Nazari Ismail berkata, pihaknya yakin bahawa penyelesaian aman bukan sahaja menjadi kepentingan terbaik untuk rakyat Palestin, tetapi juga penting untuk kestabilan serantau dan global.

"Kami minta komuniti antarabangsa untuk bersama-sama mengecam penjajahan Palestin, mendesak Israel mengakhiri dasar apartheid diskriminatif dan menuntut gencatan senjata segera.

"Kami berharap juga agar dunia dapat menyokong pembentukan satu realiti di mana rakyat Palestin dapat menikmati hak dan kebebasan mereka sepenuhnya.

"Semua pihak yang peduli perlu bergabung dalam usaha ini demi mencapai keadilan dan perdamaian di rantau ini serta seantero dunia termasuk kepada pihak berkuasa untuk segera melibatkan diri dalam proses penyelesaian berteraskan keadilan dan kemanusiaan," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!