Konvensyen Kerajaan Perpaduan akan ke semua negeri - PM
IPOH - Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang dimulakan di Perak akan dilaksanakan di semua negeri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam sejarah di negara ini atau di mana-mana negara, pembentukan kerajaan perpaduan atau campuran bukan sesuatu yang mudah.
Menurutnya, dengan inisiatif menerusi konvensyen berkenaan diyakini mampu memberi kekuatan kepada Kerajaan Perpaduan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
"Sekiranya dua gabungan (PH dan BN) ini menjadi induk terutamanya di Semenanjung Malaysia, ia akan jadi kekuatan baharu untuk dekad-dekad akan datang dan tidak mudah disangkal dan robohkan kekuatannya.
"Kita juga bernasib baik kerana rakan kita Gabungan Parti Sarawak (GPS) sangat setia dan komited untuk menjalin hubungan," katanya ketika berucap ketika menyempurnakan penutupan Konvensyen Kerajaan Perpaduan Peringkat Negeri Perak Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Ahad.
Hadir sama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan pimpinan tertinggi kedua-dua gabungan berkenaan.
Sementara itu, Anwar berkata, gabungan parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan termasuk di Sabah dan Sarawak berjaya mematikan usaha untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.
Katanya, pelbagai langkah yang cuba dilakukan ditolak dengan tegas oleh pimpinan tertinggi parti-parti di dalam kerajaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!