RM33.3 juta kerugian akibat jenayah komersial di Terengganu tahun lalu
KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu merekodkan sebanyak 1,237 kes jenayah komersial membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM33.32 juta sepanjang tahun 2023, berbanding sebanyak 1,311 kes dengan jumlah kerugian RM24.32 juta pada 2022.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, statistik daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu itu menunjukkan peningkatan kerugian pada tahun 2023 sebanyak RM8.9 juta atau 37 peratus berbanding tahun sebelumnya.
"Bagi tangkapan kes jenayah komersial pula ialah seramai 658 tangkapan bagi tahun 2023, berbanding 536 tangkapan pada 2022 iaitu peningkatan seramai 122 tangkapan atau 18.54 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mazli berkata, pada tahun ini, bagi tempoh 1 Januari hingga semalam (27 Januari) pula, sebanyak 393 laporan polis telah diterima dan 94 kertas siasatan telah dibuka melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM1.4 juta.
Katanya, penyumbang utama kes jenayah komersial adalah melibatkan kes penipuan yang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan penipuan kes skim pelaburan tidak wujud didapati menjadi penyumbang tertinggi kepada jumlah kerugian.
Beliau berkata, yang terbaharu pihaknya berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan tawaran pelaburan tidak wujud Harbour Malaysia Group (HMG) dengan tertangkapnya tiga lelaki dan seorang wanita, semalam.
Tangkapan melalui Op Nuri itu dibuat setelah Polis Kontinjen Terengganu menerima 12 laporan ke atas pelaburan tidak wujud yang dipromosikan oleh dua syarikat atas nama Smart Harbour Global Trading (SHGT) dan HMG Capital Bhd membabitkan jumlah kerugian bernilai RM460,179.
"Bersama-sama tangkapan ini juga sebanyak empat buah telefon bimbit pelbagai jenama telah dirampas.
Subjek-subjek yang terlibat telah memperdayakan mangsa-mangsa dengan menyatakan bahawa syarikat-syarikat ini stabil kerana mempunyai rangkaian perniagaan di Malaysia, Indonesia dan Brunei; tersenarai di dalam Bursa Malaysia; selain turut mempunyai aset-aset bernilai RM3 bilion,” katanya.
Beliau berkata, modus operandi penipuan pelaburan ini adalah dengan cara mengambil deposit pelaburan melalui akaun MPay bagi setiap pakej pelaburan yang ditawarkan.
"Terdapat tiga pakej pelaburan bermula daripada pakej Merchant (modal RM500 hingga RM1,000); Trading (modal RM2,000 hingga RM10,000); dan Development (modal RM20,000 hingga RM30,000) dengan kadar keuntungan tiga hingga enam peratus telah ditawarkan, kononnya bagi dilaburkan dalam pelbagai perniagaan antaranya rokok kretek, pembinaan perumahan dan kondominium,” katanya.
Sehubungan itu katanya, pihak polis menasihati masyarakat supaya sentiasa peka, berwaspada serta membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi, selain mengambil langkah proaktif untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan skim pelaburan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!