Selangor mahu perluas tanaman jagung bijirin ke negeri lain

Laporan Sinar Harian. Amirudin (kanan).
Laporan Sinar Harian. Amirudin (kanan).
A
A
A

GOMBAK - Selangor berhasrat bekerjasama dengan negeri lain untuk memperluaskan projek tanaman jagung bijirin yang digunakan sebagai makanan ayam.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usahasama itu pernah cuba dijalin dengan Negeri Sembilan namun tidak diteruskan disebabkan isu tanah bagaimanapun perbincangan diteruskan ke dua tiga negeri lain.

Menurutnya, Selangor menyasarkan untuk meningkatkan pengeluaran hasil jagung bijirin namun berdepan cabaran tanah terhad selain masalah kesesuaian tanah bagi tanaman berkenaan.

"Alhamdulillah projek jagung bijirin Selangor telah berjaya ditanam dan mengeluarkan keluar hasil.

"Sedikit cabaran di tapak ialah kerana keadaan tanah gambut. Jika diusahakan di atas tanah pamah atau tanah liat lebih baik kerana mesin boleh dibawa masuk.

"Apabila beroperasi di tanah gambut, penanaman terpaksa dibuat secara manual, namun berjaya keluar hasil memuaskan pada tuaian pertama dan yakin pengeluaran mampu ditingkatkan pada tuaian seterusnya," katanya ditemui Karnival Keusahawanan dan Kebudayaan Parlimen Gombak di Dewan Orang Ramai Kampung Wira Damai pada Ahad.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Selangor membuktikan mampu menghasilkan tanaman jagung bijirin bagi mengurangkan kebergantungan bekalan import makanan ayam.

Exco Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, fasa pertama di ladang jagung bijirin di Kuala Langat berjaya menghasilkan pengeluaran luar biasa sebanyak 6.7 tan bagi satu hektar.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Amirudin berkata, Selangor memperuntukkan tanah 121 hektar bagi projek berkenaan dan memerlukan tanah lebih luas bagi mengembangkan lagi tanaman berkenaan.

"Terus terang memang saya sedia bekerjasama dengan negeri-negeri lain atau anak syarikat yang mempunyai tanah.

"Limitasi kita di Selangor adalah saiz tanah kerana kita ada sekitar 121 hektar sahaja sedangkan keperluan kita melibatkan lebih daripada itu.

"Saya yakin mampu projek ini mampu diperluas ke negeri lain kerana kita sudah ada formula dan berjaya di Selangor malah kos juga berpatutan walaupun tanpa bantuan mesin," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!