Teruskan 'memburu' wahai Harimau Malaya
BAYANGKAN aksi bertenaga pasukan bola sepak negara, Harimau Malaya pada perlawanan pertama dan kedua dalam kempen Piala Asia seperti pertembungan dengan Korea Selatan Khamis lalu.
Jika itu berlaku, sudah tentu pasukan yang dibimbing Kim Pan-gon mampu meraih keputusan positif ke peringkat seterusnya.
Merak Jalanan yang mengikuti perlawanan peringkat kumpulan Harimau Malaya juga kecewa apabila harapan menggunung penyokong untuk menyaksikan keputusan positif bertukar sebaliknya.
Mana tidaknya, dua perlawanan bertemu Jordan, kemudian Bahrain tanpa sebarang jaringan memang memilukan.
Ya, sudah tentu Merak Jalanan berasakan aksi pemain naturalisasi negara tidak seperti yang diharapkan.
Berbalik kepada Piala Asia ini, Merak Jalanan yakin dan percaya Kim Pan-gon dan anak buahnya menimba satu pengalaman berharga untuk saingan kelayakan Piala Dunia akan datang.
Negara melahirkan banyak bakat pemain tempatan yang hebat tapi mungkin sebab kurang pendedahan, bakat itu kurang nampak.
Contoh yang jelas pemain penyerang, Luqman Hakim Shamsudin yang kini melebarkan sayap ke negara Jepun kelab divisyen 3, YSCC Yokohama.
Ada juga pemain tempatan yang hebat tapi gagal tembusi skuad utama kelab atau pasukan negeri masing-masing.
Bayangkan jika mereka diberi peluang dan kepercayaan, negara sudah tentu dibarisi pemain berkualiti dari segi minit permainan serta kemahiran dan kebijaksanaan dalam mengendalikan perlawanan.
Jika itu semua dititikberatkan, senarai pemain utama dan simpanan skuad Harimau Malaya sudah tentu akan lebih solid tanpa sebarang prejudis dengan kemampuan masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!