Doa termakbul, jasad suami akhirnya ditemukan
KOTA BHARU - Seorang isteri meluahkan rasa syukur apabila doanya termakbul selepas jasad suaminya, Norhisyam Ismail, 43, yang dikhuatiri lemas sejak 14 hari lalu akhirnya ditemukan di Pulau Dollah, Pantai Kuda di sini pada Ahad.
Norhaida Zahari@Ghazali, 39, berkata, beliau mendapat tahu tentang penemuan mayat suaminya itu pada jam 7.30 malam selepas menerima panggilan daripada pihak polis yang memaklumkan perkara tersebut.
"Adik ipar saya telah ke lokasi dan mengecam arwah suami berdasarkan baju serta seluar yang dipakai semasa hari kejadian.
"Alhamdulillah, doa kami semua dimakbulkan.
"Suami telah ditemui dan menamatkan tanda tanya buat kami," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Beliau berkata, mayat Norhisyam telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk tindakan selanjutnya.
Dalam masa sama, beliau turut memberitahu jenazah Norhisyam akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Tok Lembik, Pengkalan Chepa.
Sinar Harian pada 23 Januari lalu melaporkan isteri kepada seorang ahli perniagaan yang dikhuatiri lemas sejak sembilan hari lalu berharap jasad suaminya itu ditemukan dalam apa jua keadaan.
Isterinya, Norhaida berkata, sehingga hari ini dia sukar untuk lelapkan mata kerana terlalu merindui suami.
Norhisyam dipercayai terjatuh dari Jambatan Sultan Ismail Petra ke Sungai Kelantan di Tendong, Pasir Mas pada 15 Januari lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!