PSSCM lakar sejarah buka galeri di Muzium Kedah
ALOR SETAR - Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) secara rasminya membuka galerinya untuk tempoh lima tahun di Muzium Negeri Kedah pada Ahad.
Pembukaan galeri tersebut mencatatkan sejarah tersendiri kerana ilmu mempertahankan diri ini juga berasal dari Istana Negeri Kedah di zaman pemerintahan Sultan Kedah ke-22, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah Il.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, beliau difahamkan silat cekak telah diamalkan Panglima Kanan Kerajaan Negeri Kedah ketika itu iaitu Panglima Ismail atau nama sebenarnya Wan Ismail Wan Long sekitar tahun 1897.
"Tawaran pameran ini juga begitu signifikan dengan PSSCM oleh kerana Tuanku Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah telah perkenan untuk menjadi Penaung Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia seumur hidup.
"Silat adalah lebih dari sekadar seni mempertahankan diri. Ia adalah tentang disiplin, ketetapan hati, keyakinan diri, kewajaran pertimbangan dan kewarasan dalam membuat keputusan.
"Silat mengajar seseorang itu untuk memanfaatkan potensi fizikal dan mental, melampaui batasan yang dirasainya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian "Galeri Silat" PSSCM (Pempamer) dan Muzium Negeri di Galeri Silat, Muzium Negeri Kedah pada Ahad.
Hadir sama Presiden dan Guru Utama PSSCM, Datuk Maideen Kadir Shah, Pengarah Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri dan Naib Presiden I PSSCM, Safaran Ahmad.
Sementara itu, Maideen berkata, persatuan itu telah merangka lima fasa pameran agar ia dapat disesuaikan dengan perkembangan pada hari ini.
Menurutnya, dengan adanya Pameran PSSCM di Muzium Kedah yang berkonsepkan interaktif, diharapkan ia mampu untuk menjadi hub informasi serta rujukan pengkaji-pengkaji dari seluruh negara untuk meneruskan kajian-kajian berkaitan seni silat cekak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!