The Dusun Resort sedia maklum kes saman keluarga Nora Anne
SEREMBAN - The Dusun Resort di sini sedia maklum mengenai tindakan saman sivil terhadap operator resort itu yang dibuat oleh keluarga mendiang Nora Anne Quoirin.
Pengarah resort, Haanim Bamadhaj berkata, satu kenyataan rasmi mengenai saman itu akan dikeluarkan pihaknya dalam masa terdekat.
"Ya, kami telah menerimanya lebih awal namun saya tidak dapat mendedahkan bila ianya diterima.
"Kami sedang meneliti saman yang difailkan oleh ibu bapa Nora Anne dan kenyataan rasmi mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Media semalam melaporkan ibu bapa kepada Nora Anne, Meabh Jaseprine Quoirin dan Sebastian Marie Philipe mengemukakan saman terhadap operator The Dusun Resort yang menjadi lokasi penginapan mereka ketika bercuti di Pantai, Seremban, Ogos tahun lalu.
Menerusi tuntutan itu, mereka mendakwa operator gagal memastikan keselamatan premis, tidak memasang kamera keselamatan dan tidak menyelenggara serta memastikan keupayaan selak pintu bilik diinap mereka.
Mereka diwakili peguam Sankara Nair dan saman sivil itu difailkan di Mahkamah Seksyen Seremban dengan pengurusan pertama kes dilaporkan akan bermula pada 21 Januari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman berkata, mana-mana individu berhak untuk memfailkan saman sivil terhadap mana-mana pihak yang dirasakan wajar.
Mengenai laporan lengkap bedah siasat remaja Nora Anne, Che Zakaria berkata, laporan lengkap bedah siasat itu masih belum diperoleh.
Terdahulu pada 3 Ogos lalu Nora Anne berusia 15 tahun bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di resort The Dusun Pantai Hill, Pantai dekat sini.
Bagaimanapun, remaja itu dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya dan mayat remaja itu ditemukan pada 13 Ogos iaitu 10 hari selepas kehilangannya oleh pasukan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat.
Mayat remaja itu ditemui dalam keadaan tidak berpakaian berhampiran anak sungai di kawasan berlurah sekitar 2.5 kilometer dari resort berkenaan.
Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne, yang mengalami masalah pembelajaran, tidak mempunyai unsur jenayah dan disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!