Tun Daim serang pentadbiran Anwar
KUALA LUMPUR - Kata-kata yang keluar daripada mulut bekas Menteri Kewangan, Tun Dr Daim Zainuddin semasa sidang akhbar sukar didengar dan difahami oleh pihak media.
Tidak sampai dua minit sidang akhbar berlangsung, isteri beliau, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid memutuskan untuk menamatkan sidang akhbar terbabit di pintu masuk Mahkamah Kuala Lumpur.
Satu kenyataan akhbar diberikan kepada media sebagai pengganti ucapan daripada Tun Daim.
Dalam kenyataan itu, Tun Daim berkata, dia tidak akan berbicara mengenai tuduhan bermotifkan politik terhadapnya pada hari ini.
Beliau menyatakan tidak bersalah dan tidak sabar menunggu hari perbicaraan yang akan berlangsung selepas ini.
Begitupun, katanya, terdapat satu perkara yang berlaku di negara ini mahu dikongsikan bersama masyarakat.
"Seperti ramai yang lain yang mahukan sebuah Malaysia baharu, saya turut menyokong Pakatan Harapan dan Anwar Ibrahim pada 2018.
"Ketika itu, negara dihantui bayang-bayang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tetapi kini kita dibayangi pula oleh sebuah pentadbiran yang menyalahguna kuasa selain janji-janji reformasi yang dimungkiri.
"Musang berbulu ayam bersorak reformasi tetapi melakukan sebaliknya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam kenyataan itu, Tun Daim berkata, demi mencapai jawatan Perdana Menteri, Anwar melantik seorang individu berdepan tuduhan rasuah sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Katanya, tidak lama kemudian, seperti silap mata, 47 pertuduhan rasuah melibatkan Timbalan Perdana Menteri itu digugurkan.
"Inikah Malaysia baharu yang dijanjikan? Kejujuran, integriti dan tadbir urus baik semuanya 'ke laut'.
"Institusi bebas seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Peguam Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diperalatkan dengan mudah dalam mengejar musuh politik.
"Inikah Malaysia baharu yang dijanjikan? Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Perhimpunan Aman digunakan sewenang-wenangnya terhadap mereka yang lantang bersuara atau mengkritik kerajaan atau Anwar, malah menteri mengeluarkan ugutan menghantar kereta polis ke rumah mereka," ujarnya.
Tun Daim menyatakan, Anwar seharusnya sedar yang semua ini ada tempiasnya.
Jelas beliau, ketika sibuk melunaskan dendam lampau, namun apa yang berlaku adalah ringgit terus merosot, ekonomi terbantut dan penderitaan rakyat berterusan.
Menurut beliau, dalam usia yang semakin lanjut dan tidak lagi mempunyai kekuatan seperti dulu, keyakinan dirinya tetap tidak pernah goyah.
"Saya tidak peduli sangat nasib saya, biarlah Anwar melemparkan segala-galanya terhadap saya.
"Tetapi saya khuatir nasib negara saya. Jadi, saya menyeru anda melakukan apa yang terdaya dalam memelihara dan menyelamatkan negara ini.
"Jangan takut bersuara terhadap Anwar dan rejimnya. Sesebuah kerajaan bertanggungjawab kepada rakyatnya, bukan sebaliknya," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!