Budak 12 tahun dikompaun miliki rokok
KLUANG - Seorang kanak-kanak berumur 12 tahun dikenakan kompaun sebanyak RM50 setelah didapati memiliki sekotak rokok walaupun memberikan alasan ia milik ayahnya.
Pegawai Kesihatan Daerah Kluang, Dr Mohd Nizam Subaher berkata, individu bawah umur yang didapati memiliki atau menghisap rokok boleh dikenakan kompaun tanpa mengira tempat sama ada di premis makanan atau pun tempat lain.
Katanya, tindakan berkenaan dilakukan bagi memastikan setiap individu di bawah umur khususnya pelajar terhindar daripada gejala menghisap rokok sekali gus mengelak mereka daripada terlibat dengan tabiat yang lebih buruk.
“Walau apa pun alasan yang diberikan termasuklah rokok milik ayah atau individu yang tidak di bawah umur, sesiapa pun tidak terlepas sekiranya melanggar Peraturan 13 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 ini,” katanya selepas operasi penguatkuasaan di tempat makan di sekitar daerah Kluang di sini hari ini.
Jelas Mohd Nizam lagi, selain kanak-kanak 12 tahun itu, 33 individu lain turut dikompaun kerana melakukan kesalahan di bawah peraturan yang sama melalui operasi yang dilakukan sejak 1 Jan lepas.
Katanya, 47 notis kompaun juga telah dikeluarkan dan 25 daripadanya membabitkan kesalahan merokok di premis-premis makanan yang melibatkan jumlah kompaun sebanyak RM6,250.
“Kesalahan lain yang diberikan notis adalah menjual rokok di bawah harga minimum serta menjual rokok tanpa lesen. Jumlah kompaun keseluruhan adalah RM11,250.
“Kami juga ingin memaklumkan mereka yang tidak mempamerkan tanda larangan merokok di premis makanan turut membuat kesalahan mengikut Peraturan 12(1) (a) 5,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!