'Peluk, menangis jumpa bapa selepas 24 tahun terpisah'
KUALA SELANGOR - Selepas 24 tahun terpisah, Muhammad Sadam Roslan, 27, akhirnya bertemu semula dengan bapanya di Tanjung Tiram, Batu Bara, Wilayah Samutera Utara, Indonesia pada 18 Januari lalu.
Muhammad Sadam berkata, kerinduannya terhadap Roslan Mhd Nur Kassim, 55, sejak dari kecil akhirnya terubat sebaik bertentang mata dengan bapanya itu.
Menurut anak bongsu daripada dua beradik itu, pertemuan itu mengundang perasaan sebak dan ia sukar diungkapkan dengan kata-kata.
"Sebaik sahaja bertentang mata dengan ayah, saya terus berpelukan dan menangis kerana akhirnya dapat menatap wajah insan yang saya cari selama ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Assam Jawa di sini pada Isnin.
Muhammad Sadam memberitahu, pertemuannya dengan bapanya yang berasal dari Indonesia itu dirancang sepupunya, Rahmayani Sulaiman, 33.
"Saya berterima kasih kepada sepupu yang berusaha untuk menemukan kami dan Alhamdulillah saya dapat melepaskan kerinduan terhadap ayah selama tiga hari berada di sana (Indonesia)," ujarnya.
Muhamad Sadam yang bekerja sebagai penghantar makanan memberitahu, sebelum ini dia pernah menghubungi bapanya menerusi panggilan video semasa majlis pernikahan abangnya, Muhammad Shahrul Nizam Roslan, 28, pada November tahun lalu.
"Kali pertama melihat wajah ayah pada masa itu, hati saya kuat ingin berjumpa dengannya suatu hari nanti.
"Saya tidak menyangka impian itu dimakbulkan ALLAH dan syukur dia masih sihat dan dapat bertemu dengan bapa kandung," tambahnya.
Menurut Muhamad Sadam, ibunya, Fadlyaton Abdul Malik, 56, seorang warga tempatan berpisah dengan bapanya itu sejak dia kecil.
"Saya tak pernah rasa dendam pada ayah, bagi saya perkara lama usah dikenang dan saya harap pertemuan ini tidak berakhir di sini sahaja dan bercadang jika ada rezeki ingin bertemu sekali lagi semasa Aidilfitri ini," ujarnya.
Tambahnya, dia kini menjaga ibunya yang terlantar sakit akibat penyakit kencing manis dan darah tinggi sejak tiga tahun lalu.
"Bagi saya, ibu bapa adalah segalanya dan akan menjaga mereka selagi hayat ini dikandung badan," katanya.
Terdahulu, pertemuan menyayat hati antara dua beranak itu tular di media sosial terutama di negara jiran berkenaan dengan turut memaparkan Muhammad Sadam tidur di pangkuan bapanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!