Thailand perlu tambah baik fasiliti di CIQ Sadao - Pelancong
SADAO - Thailand disarankan agar menambah baik fasiliti di CIQ Sadao yang disifatkan sebagai kurang mesra pelancong dan menyebabkan ketidakselesaan pengguna di CIQ tersebut.
Tinjauan Sinar Harian di CIQ Sadao selepas urusan pemeriksaan passport mendapati, keadaan kurang kondusif kerana orang ramai terpaksa menunggu lama tanpa disediakan tempat duduk bersesuaian terutama untuk golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Seorang pelancong dari Pulau Pinang yang dikenali sebagai Mastura berkata, cuaca panas ketika ini lebih memburukkan keadaan kerana tiada tempat bersesuaian untuk berteduh.
"Sudah lebih sejam saya menunggu di sini sementara menunggu rakan yang memandu kenderaan melepasi pemeriksaan Imigresen Thailand. Kami hanya mampu duduk di tepi-tepi dinding ini sahaja.
"Kebetulan hari ini hujung minggu jadi sangat sesak, dan pemeriksaan juga nampak kurang lancar," katanya ketika ditemui di CIQ Sadao pada Ahad.
Sementara itu, kakitangan swasta, Aina Nazmi, 28, berkata, pihak Thailand sepatutnya lebih prihatin kerana pelancong Malaysia setiap minggu akan masuk melancong ke negara gajah putih berkenaan.
"Lebih bagus rasanya kalau penumpang tidak perlu turun, cop sahaja bersama pemandu dari dalam kereta," katanya yang berkunjung ke Thailand sejak Khamis lalu.
Rakannya yang dikenali sebagai Bushra berkata, melancong ke Thailand sememangnya tidak memerlukan kos yang tinggi namun proses ketika di sempadan perlu diperkemas lagi.
"Sebab yang melancong ini bukan sahaja kita yang sihat ini, ada juga warga emas dan mereka yang berkerusi roda kalau kita pun rasa letih, apatah lagi mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!