Qatar desak kemasukan segera bantuan ke Gaza

Lulwa Rashid Al Khater
Lulwa Rashid Al Khater
A
A
A

DOHA - Qatar menggesa kemasukan segera dan tanpa halangan bantuan kemanusiaan yang mencukupi ke semua bahagian di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita Jordan (Petra).

Bilangan trak bantuan yang melintasi ke Semenanjung Gaza pada masa ini adakalanya tidak mencapai 100 trak sehari, jumlah yang sangat terhad jika dibandingkan dengan keperluan untuk bekalan dan bantuan segera di wilayah itu.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Menteri bagi Kerjasama Antarabangsa di Kementerian Luar Qatar, Lulwa Rashid Al Khater berkata, keadaan itu berbeza dengan jumlah trak yang melintasi sempadan sebelum serangan Israel di Semenanjung Gaza sejak Oktober lepas yang mencapai purata antara 400 dan 500 trak sehari.

Al Khater berkata, ketibaan bantuan ke bandar El Arish di Mesir langkah paling mudah dari segi pergerakan bantuan dari seluruh dunia untuk disalurkan ke Gaza.

Tetapi terdapat banyak halangan yang dikenakan oleh Israel yang melanggar Perkara 59 Konvensyen Geneva Keempat.

Menteri itu berkata, bantuan yang seperti makanan, bekalan perubatan dan barangan lain yang merangkumi keperluan penting amat diperlukan rakyat Palestin ketika ini.

"Apa yang kami perjuangkan pada masa ini untuk memastikan barangan penting terutamanya perubatan dan makanan dapat diagihkan kepada rakyat Palestin secepat mungkin,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!