Izinkan saya menjadi raja di hati rakyat - Al-Sultan Abdullah

Al-Sultan Abdullah berkenan menyantuni rakyat.- Foto fail Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan menyantuni rakyat.- Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Selepas bulan Januari ini, mungkin saya bukan lagi raja kepada Malaysia, tapi jika diizinkan, hasrat saya ialah untuk menjadi raja di hati anda semua," titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang akan menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Selasa.

Biarpun tidak lagi menjadi Yang di-Pertuan Agong dan akan berangkat balik ke Kuantan sebagai Sultan Pahang selepas bersemayam di singgahsana negara sejak 31 Januari 2019, namun Seri Paduka mahu rakyat Malaysia terus bersatu padu dan bekerjasama memajukan Malaysia.

”Saya harap rakyat terus bermuhasabah dan memberi segala kerjasama untuk memajukan dan meningkatkan ekonomi negara kita dan menyatukan rakyat kita semua kaum, semua peringkat dan bersyukur dan terus bersyukur,” titah Al-Sultan Abdullah.

Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian dalam wawancara hampir dua jam bersama editor dan wartawan kanan media utama sempena tamat tempoh pemerintahan di Istana Negara baru-baru ini, yang turut dihadiri Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

"Saya ucap terima kasih kepada semua media sepanjang saya berada di Istana Negara, minta maaf kalau ada kekurangan dan saya begitu bersyukur,” titah Seri Paduka.

Era pemerintahan Al-Sultan Abdullah selama lima tahun menyaksikan episod penuh warna warni apabila berlaku pelbagai peristiwa termasuk penularan pandemik Covid-19 dan pertukaran empat Perdana Menteri dengan Jemaah Menteri berlainan, yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia sebelum ini.

Walaupun diuji dengan pelbagai cabaran, namun Seri Paduka dilihat kekal tenang menghadapinya dan menyelesaikan permasalahan yang timbul dengan bijaksana (wisdom), bak menarik rambut di dalam tepung.

"Alhamdulillah, saya dididik supaya banyak bersabar. Kita bila sembahyang banyak berzikir. Saya bukan nak kata saya begitu warak tapi amalan yang kita buat selama ini mententeramkan. Sebenarnya kalau kita sudah biasa dengan amalan kita, semua ini serah pada Allah. Insya-Allah, hidayah akan datang dengan sendirinya...,’’ titah Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Berkaitan:

Berkongsi rahsia kekal tenang, Al-Sultan Abdullah bertitah pemimpin di peringkat mana sekali pun perlu ada sifat sabar dalam mengendalikan apa jua masalah, muhasabah selain membuat keputusan yang pantas.

Mengulas pengalaman memayungi pentadbiran empat Perdana Menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Al-Sultan Abdullah bertitah kesemuanya mempunyai kelebihan tersendiri.

"Empat Perdana Menteri itu semua berpengalaman, tengok latar belakang mereka dalam kerajaan sebelum ini.

"Saya tanya diri saya siapalah saya, mereka ni semua dah berpengalaman, saya tak berpengalaman.

"Saya jadi Sultan (Pahang) 15 hari sahaja, terus jadi Agong. Saya dah berbelas tahun (menjadi) Tengku Mahkota, 15 hari (dimasyhur sebagai Sultan Pahang) baru jadi Agong.

"Banyak benda yang saya tak tahu, jadi saya terpaksa bertanya, mempelajari, membaca supaya saya dapat menjawab segala soalan sedikit sebanyak,” titah Seri Paduka.

Secara keseluruhan, tempoh pemerintahan selama lima tahun disifatkan Al-Sultan Abdullah sebagai sangat mencabar, namun banyak memberi kenangan manis.

"Saya anggap saya sudah cuba buat sekadar mana mampu. Pertama untuk mententeramkan keadaan negara, stabilkan negara, kemudian stabilkan senario politik, walaupun tidak dengan secara drastik, namun sekurang-kurangnya dapat kekalkan keharmonian dan kestabilan sehingga kini,” titah Seri Paduka

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan saat duka di awal pemerintahan Seri Paduka apabila kehilangan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, yang mangkat pada 22 Mei 2019.

Dalam wawancara yang berlangsung santai dan berterus terang, Al-Sultan juga mengingatkan peri pentingnya menghormati proses demokrasi yang membolehkan sesebuah kerajaan dibentuk selepas pilihan raya umum dan dikekalkan sehingga tamat penggal.

"...pertukaran kerajaan ini bukanlah perkara yang mudah kerana ini merugikan kita, rakyat dan negara, rugi kewangan, rugi masa.

"Saya bukan nak menidakkan mana-mana pihak politik tapi pengalaman menukar kerajaan itu satu proses yang cukup merugikan negara.

"Kita sudah ada proses demokrasi tertulis setiap lima tahun kita ada pilihan raya, jadi biarlah sekurang-kurangya empat, lima tahun sesebuah kerajaan untuk memerintah, bukan sekadar hanya satu dua tahun nak tukar sewenang-wenangnya,” titah Seri Paduka.

Pada masa yang sama, Al-Sultan Abdullah turut menyelar rancangan Langkah Dubai yang didakwa untuk menggulingkan Kerajaan Madani pimpinan Anwar.

Yang di-Pertuan Agong menegaskan bahawa kerajaan semasa mesti terus mentadbir negara, selain ahli politik diingatkan tidak terlalu berpolitik, sebaliknya menumpukan fokus untuk memajukan negara, meningkatkan ekonomi serta menyatupadukan semua kaum.

"Jadi jangan jadi terlalu parokial, jangan berfikiran sempit, itulah antara nasihat keramat saya.

"Saya rasa sedih juga nak tinggal kerana kalau melihat rakyat tidak bersatu, dan ya, saya harap ini (mengharmonikan keadaan dan menyatukan kaum) dapat diusahakanlah secara berterusan,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah juga beberapa kali mengulangi pentingya Malaysia mempunyai kestabilan politik dan kerajaan yang kukuh kerana pertukaran kerajaan tidak menjamin apa-apa, dan hanya merugikan negara, selain menjejaskan pelaburan asing ke negara ini.

Sebagai Ketua Negara, Seri Paduka amat mengambil berat dengan urusan pentadbiran dan mengadakan mesyuarat pra-kabinet dengan Perdana Menteri setiap minggu, yang berlangsung kira-kira 45 minit hingga sejam.

"Ini saya sudah lunaskan 157 kali (setakat Disember 2023) dan setiap sesi itu dengan semua Perdana Menteri saya akan baca Kertas Kabinet sehari sebelum perjumpaan itu.

"Mana-mana Kertas Kabinet perlu saya tanya, saya tanya, yang mana saya setuju saya setuju, mana yang tidak, saya tidak setuju.

"Jadi, alhamdulillah segala pandangan, nasihat Perdana Menteri, saya ambil terima dan teguran saya, Perdana Menteri akan maklum kepada Kabinet.

"Jadi ada kerjasama, dengan keempat-empat Perdana Menteri, dalam tempoh lima tahun,” titah Al-Sultan Abdullah, sambil menunjukkan buku nota yang digunakan baginda untuk mencatat hal-hal berkaitan.

Ditanya mengenai penubuhan Kerajaan Perpaduan, Yang di-Pertuan Agong bertitah cetusan idea penubuhannya bukanlah baru, sebaliknya bermula sejak Ismail Sabri mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri kesembilan bagi membolehkan kerajaan mempunyai kekuatan dua pertiga majoriti.

Bagaimanapun, pemimpin parti politik ketika itu tidak menyahut saranan penubuhan Kerajaan Perpaduan sehingga selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang menyaksikan keputusan Parlimen tergantung tanpa mana-mana parti atau gabungan politik memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan.

"Jadi bila sampai ke pilihan raya ini (PRU15), saya nak satu keadaan harmoni dalam negara ini. Ia seharusnya bermula di Parlimen lagi.

"Kita tak boleh terus bergaduh ataupun berfikiran berlainan, kita nak majukan negara kita, nak meningkatkan nama baik negara kita.

"Niat saya itu sahaja, saya nak kalau boleh semua sekali parti dijadikan satu kerajaan yang kuat dan kukuh supaya kita boleh meneruskan pembentukan kerajaan yang stabil, negara yang stabil dan berjaya,” titah Seri Paduka.

Mengenai prestasi Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar selepas setahun penubuhannya, Al-Sultan Abdullah bertitah setahun bukanlah satu tempoh untuk mengukur kejayaan atau kegagalan mana-mana perdana menteri dan kerajaan pimpinannya, kerana sudah pasti ada kelemahan di sana sini.

Al-Sultan Abdullah bertitah yang penting kerajaan pimpinan Anwar sedang berusaha untuk memperbaiki apa jua kelemahan dan ketirisan yang berlaku sebelum ini.

"Kita tahu ada banyak perancangan a, b, c, d... antaranya mungkin ada juga dasar-dasar yang mungkin tidak popular, kadang-kadang kerajaan perlu buat keputusan yang kurang popular untuk kebaikan negara masa akan datang.

"Saya harap kerajaan terus memberi kefahaman kepada rakyat di luar sana,” titah Seri Paduka.

Sementara itu, dalam hubungan antarabangsa, Malaysia menyaksikan Al-Sultan Abdullah memainkan peranan penting dan mempunyai hubungan erat dengan kerabat diraja dan pemimpin di seluruh dunia bagi membantu memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia.

Meskipun berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang membataskan pergerakan pada awal pemerintahan, Al-Sultan Abdullah berkesempatan berangkat ke luar negara bagi mengadakan lawatan negara dan khas ke beberapa negara antaranya ke Brunei, Indonesia, Singapura, Jepun, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Turkiye, Jordan, Monaco dan United Kingdom.

Sepanjang tempoh pemerintahannya, Seri Paduka juga menzahirkan rasa teruja apabila berpeluang menyantuni rakyat ketika berangkat ke satu-satu kawasan dan hal itu memberi semangat ke Al-Sultan Abdullah untuk terus mendekati rakyat.

Terkesan dengan penderitaan rakyat yang terjejas dengan penularan pandemik Covid-19 sehingga ada yang mengangkat bendera putih tanda meminta bantuan, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan tidak mengambil Emolumen Diraja sejak wabak itu melanda pada 2020 sehingga kini.

Menjunjung kasih Tuanku. Daulat Tuanku! - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!