Nelayan setuju tidak ke laut setiap Ahad

Nelayan pukat kenka dua bot Kuala Kurau dan Tanjung Piandang bersetuju untuk tidak turun ke laut setiap Ahad.
Nelayan pukat kenka dua bot Kuala Kurau dan Tanjung Piandang bersetuju untuk tidak turun ke laut setiap Ahad.
A
A
A

IPOH - Seramai 1,060 nelayan pukat kenka dua bot bersetuju untuk tidak turun ke laut setiap Ahad sebagai langkah awal untuk memulihkan sumber perikanan di kawasan perairan Kuala Kurau dan Tanjung Piandang.

Usaha itu merupakan satu pelan Pengurusan Perikanan Secara Komuniti Setempat hasil pertemuan antara Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Kurau dan Jabatan Perikanan Perak.

Pengarah Perikanan Perak, Zaki Mokri berkata, nelayan pukat kenka dua bot menyedari hasil tangkapan mereka tidak memberangsangkan berbanding lima tahun lalu.

"Mereka juga perlu berada di laut lebih lama tetapi hasil tangkapan tidak seberapa sangat. Ikan di laut telah berkurangan, saiznya juga semakin kecil.

"Mulai tahun 2015, hasil tangkapan oleh pukat kenka dua bot mulai merosot setiap tahun. Kawasan tangkapan juga terhad iaitu 5.0 batu nautika dari pantai hingga 12.0 batu nautika bermula di Bagan Tiang di utara dan berakhir di Kuala Gula di bahagian selatan.

"Dengan keluasan operasi hampir 50 batu nautika persegi (162 kilometer persegi) bagi menampung 526 vesel pukat kenka dua bot serta sumber perikanan semakin merosot, satu tindakan segera perlu diambil bagi memulih sumber perikanan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihaknya akan mengkaji impak inisiatif yang diambil nelayan itu terhadap sumber pada Jun nanti.

"Pada peringkat awal, mulai 1 Januari 2020, kita cuba untuk satu hari tidak ke laut untuk setiap minggu, selepas enam bulan kita akan kaji impaknya terhadap sumber.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan menambah baik lagi untuk memastikan sumber perikanan pulih ke tahap asalnya. Kaedah musim tertutup ini akan diguna pakai terhadap peralatan yang lain seperti pukat tunda, jerut bilis atau mana-mana sumber perikanan yang kian merosot," katanya.

Zaki berkata, pihaknya merakam penghargaan kepada semua nelayan yang mengambil langkah bijak menjayakan pelan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!