ADUN, JPS lawat kawasan tanah runtuh
KOTA BHARU - Kebimbangan empat keluarga di Taman Haji Hadi, Kampung Gaung, Pendek Salor dekat sini susulan kejadian hakisan sungai dan tanah runtuh yang berlaku hanya beberapa meter dari belakang kediaman mereka mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Saizol Ismail.
Saizol yang melakukan tinjauan lebih setengah jam bersama Pemangku Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Marinamarican Abdullah; wakil Pejabat Parlimen Kubang Kerian dan beberapa pemimpin setempat memaklumkan laporan berhubung kejadian itu telah dihantar kepada kementerian terbabit tahun lalu.
"Kejadian ini mula serius tahun lalu terutama ketika musim tengkujuh. Saya sendiri akan berbincang dengan kerajaan negeri supaya pembaikan ini dapat disegerakan.
"Dianggarkan 200 meter tebing runtuh di sepanjang sungai di belakang kawasan rumah penduduk," katanya ketika dihubungi selepas tinjauan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, buat masa ini pihaknya tidak dapat memaklumkan keputusan tindakan segera yang akan diambil kerana perkara itu perlu dijelaskan selepas perbincangan bersama pihak kementerian dan JPS.
Menurutnya, projek menaik taraf sungai itu termasuk dalam Projek Lembangan Sungai Bersepadu 2 yang membabitkan kos yang tinggi.
"Antara kawasan terlibat dalam pembaikan tebing sungai melalui projek itu termasuk Kampung Gertak Lembu, Kampung Cabang Tiga Pendek dan Kampung Teluk Kandis," katanya.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan empat keluarga di Taman Haji Hadi itu tidak lena tidur berikutan hakisan sungai dan tanah runtuh yang berlaku hanya beberapa meter dari belakang kediaman mereka.
Tinjauan di lokasi terbabit mendapati ada kediaman yang terletak tidak kurang 50 meter dari sungai manakala yang lain pula berlaku gelinciran tanah akibat aliran mata air yang deras dipercayai dari bawah tanah.
Keadaan tanah runtuh pula setinggi lebih 20 meter seperti gaung kecil dan berlaku beberapa aliran mata air yang didakwa boleh mempercepatkan runtuhan tanah.
Pasang kanvas kalis air di tebing runtuh Sungai Kelantan tidak sesuai - JPS
KOTA BHARU - Pemasangan kanvas kalis air di kawasan runtuhan tebing di Sungai Kelantan bukan penyelesaian segera bagi mengatasi masalah terbabit, kata Pemangku Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Marinamarican Abdullah.
Beliau berkata, pihaknya sudah menghantar permohonan peruntukan bagi kerja-kerja baik pulih kepada kerajaan dan menunggu tindakan segera yang perlu diambil berhubung kejadian itu.
"Tindakan penyelesaian segera seperti pemasangan kanvas kalis air dilihat agak berisiko kerana tumbuhan yang terdapat pada tebing itu boleh mati sekali gus mengakibatkan tebing lebih cepat runtuh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di lokasi runtuhan tebing di Taman Haji Hadi berdekatan Kampung Pendek, di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Saizol Ismail.
Sementara itu, Saizol berkata, hasil pemantauan yang dilakukan terdapat runtuhan sepanjang 200 meter di kawasan tersebut dan berisiko berlaku runtuhan di kawasan penempatan penduduk.
Sebelum ini, media melaporkan lima keluarga yang menetap di taman berkenaan hidup dalam kebimbangan selepas berlaku kejadian runtuhan tebing di Sungai Kelantan baru-baru ini yang dipercayai jaraknya beberapa meter sahaja dari rumah mereka. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!