Mahkamah ketepi larangan bersuara terhadap penerbit Mentega Terbang
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengetepikan perintah larangan bersuara ke atas penerbit filem Mentega Terbang, Tan Meng Kheng yang melarang beliau daripada membuat sebarang kenyataan atau komen berhubung kesnya yang sedang berjalan.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam keputusannya berkata, pihak pendakwaan selaku responden dalam kes itu gagal memenuhi bahawa terdapat risiko sebenar dan besar terhadap keadilan perbicaraan.
"Prosiding di hadapan Mahkamah Majistret tidak mendedahkan sebarang ancaman yang jelas atau akan berlaku terhadap keadilan perbicaraan.
"Tidak ada bahan di hadapan mahkamah untuk menunjukkan bahawa terdapat risiko yang nyata dan besar terhadap keadilan perbicaraan.
"Oleh itu, perintah larangan bersuara yang dikeluarkan oleh Majistret adalah tidak wajar dan perintah larangan ini diketepikan," kata hakim itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd Izhar mewakili responden manakala peguam, N Surendran bagi pihak Meng Kheng selaku pemohon.
Meng Kheng memfailkan permohonan semakan itu pada 18 Januari lepas bagi mencabar perintah larangan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret atas alasan larangan itu menyalahi undang-undang dan menyekat kebebasan bersuara.
Pada 17 Januari lepas, pengarah, Mohd Kairianwar, 32, dan penerbit, Meng Kheng, 36, didakwa di dua Mahkamah Majistret berasingan atas pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain melalui filem itu, tahun lepas.
Mereka didakwa dengan sengaja melukakan perasaan agama orang lain dengan melafazkan perkataan-perkataan dalam pendengaran dan meletakkan objek-objek dalam penglihatan orang di sebuah premis di Jalan Semarak Api di sini pada 12.34 tengah hari 26 Februari 2023.
Mohd Khairianwar, yang juga penulis skrip dan Meng Kheng didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mohd Khairianwar dan Meng Kheng masing-masing diikat jamin RM6,000 dan RM6,500 dengan seorang penjamin serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran sehingga selesai perbicaraan.
Majistret juga turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk perintah larang suara ke atas kedua-dua tertuduh daripada membuat sebarang komen atau kenyataan secara umum berhubung kes mereka sehingga kes selesai.
Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri mengharamkan tayangan dan publisiti filem itu menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 2662 Akta Penapisan Filem 2002 Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023 bertarikh 21 Ogos 2023 yang ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Filem itu, yang ditayang menerusi platform penstriman video, telah mengundang kecaman dan kegusaran orang awam kerana didakwa memaparkan adegan dengan unsur bertentangan fahaman serta kepercayaan agama. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!