[VIDEO] Keberangkatan Sultan Ibrahim detik bersejarah - Rakyat Johor

A
A
A

JOHOR BAHRU - Rakyat Johor menghitung hari untuk menyambut rombongan keberangkatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ke Istana Negara pada Rabu.

Penduduk Kampung Pasir antara yang paling teruja memandangkan kampung tersebut terletak di kawasan laluan dari Istana Bukit Serene ke Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

Peniaga kedai makan, Istiharah Mujib, 55, berkata, dia teruja selepas diberitahu rombongan Sultan Ibrahim yang akan berangkat ke Istana Negara lalu di hadapan Kampung Pasir.

Selain berasa bangga, Istiharah menyifatkan Sultan Ibrahim seorang Sultan berjiwa rakyat kerana dia pernah bertemu baginda ketika jamuan Hari Raya di Istana Bukit Serene, 20 tahun lalu.

"Sebagai orang Johor, sudah tentu gembira dengan detik bersejarah yang akan berlaku pada Rabu ini. Sultan Ibrahim sememangnya prihatin dengan rakyat.

"Seawal jam 7.30 pagi, saya dan anak akan berada di hadapan kedai makan bersama orang ramai yang menunggu rombongan Sultan Ibrahim. Detik bersejarah itu nanti akan menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan," katanya ketika ditemui pada Isnin.

Pembantu kedai makan, Siti Noraniza Isnin, 29, memberitahu, dia akan berada di lokasi ‘check point’ laluan konvoi diraja di Kampung Pasir pada seawal jam 7.30 pagi.

Artikel Berkaitan:

Laluan di hadapan Kampung Pasir di Parlimen Pulai akan dilalui rombongan keberangkatan Sultan Ibrahim.
Laluan di hadapan Kampung Pasir di Parlimen Pulai akan dilalui rombongan keberangkatan Sultan Ibrahim.

"Keberangkatan Sultan Ibrahim ke Istana Negara pada pagi Rabu ini, merupakan detik bersejarah buat Johor. Saya tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama rakyat Johor meraikan Sultan Ibrahim," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat menyeru orang ramai khususnya di Parlimen Pulai yang menjadi laluan rombongan diraja agar bersama meraikan keberangkatan rombongan diraja dan melihat Sultan Ibrahim secara langsung bersama ribuan rakyat.

"Pada Rabu merupakan detik terpenting yang seharusnya diraikan bersama rakyat Johor. Saya juga akan bersama rakyat di Parlimen Pulai menunggu rombongan diraja.

"Sultan Ibrahim berjiwa rakyat dan prihatin membantu rakyat di negeri ini," katanya.

Kampung Pasir di Johor Bahru antara 'check point' orang ramai akan menunggu rombongan keberangkatan Sultan Ibrahim ke Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada Rabu. (Gambar kecil dari kiri: Istiharah, Siti Noraniza, dan Suhaizan)
Kampung Pasir di Johor Bahru antara 'check point' orang ramai akan menunggu rombongan keberangkatan Sultan Ibrahim ke Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada Rabu. (Gambar kecil dari kiri: Istiharah, Siti Noraniza, dan Suhaizan)

Dianggarkan 30,000 rakyat Johor akan berada di sepanjang laluan Istana Bukit Serene sehingga Johor Royal Hangar, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai sempena Istiadat Keberangkatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ke Istana Negara pada Rabu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar dilaporkan berkata laluan sepanjang 35.5 kilometer (km) itu akan ditutup selama sejam bermula jam 7.45 pagi, bagi memastikan kelancaran konvoi Sultan Ibrahim.

Seramai 1,200 anggota polis termasuk bantuan daripada pihak berkuasa tempatan akan terlibat memastikan keselamatan orang ramai pada istiadat itu nanti.

Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan Selasa ini.

Baginda akan mula bersemayam di Istana Negara, Kuala Lumpur mulai Rabu ini bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!